Terkini
Pempengaruh patut guna media sosial didik bahaya vape, bukan promosi
- Itu penegasan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berikutan pada masa ini ramai pempengaruh media sosial menjadi duta mempromosikan vape, sehingga menjadi ikutan dalam kalangan remaja.
- “Untuk mengelak hal itu, kita perlu mengajak pempengaruh media sosial menggunakan platform yang mereka miliki bukan untuk mempromosikan vape, tetapi untuk memberitahu betapa bahayanya vape dalam kalangan pelajar sekolah.
- “Selain itu, langkah paling praktikal dalam memerangi vape bermula dengan teguran terus daripada orang dewasa kepada golongan muda,” katanya dipetik The Vibes pada Isnin.
KUALA LUMPUR — Pempengaruh media sosial seharusnya menggunakan platform mereka untuk mendidik masyarakat, terutama pelajar sekolah, mengenai bahaya penggunaan vape dan bukannya menjadi duta yang mempromosikannya.
Itu penegasan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berikutan pada masa ini ramai pempengaruh media sosial menjadi duta mempromosikan vape, sehingga menjadi ikutan dalam kalangan remaja.
“Untuk mengelak hal itu, kita perlu mengajak pempengaruh media sosial menggunakan platform yang mereka miliki bukan untuk mempromosikan vape, tetapi untuk memberitahu betapa bahayanya vape dalam kalangan pelajar sekolah.
“Selain itu, langkah paling praktikal dalam memerangi vape bermula dengan teguran terus daripada orang dewasa kepada golongan muda,” katanya dipetik The Vibes pada Isnin.
Beliau berkata selain ibu bapa perlu bersikap tegas terhadap anak-anak yang mulai terlibat dengan vape, masyarakat juga boleh memainkan peranan dengan memberi teguran secara terus sekiranya ternampak anak-anak menghisap vape.
Jelasnya, dengan ada teguran secara terus sedemikian, anak-anak akan mempunyai persepsi bahawa vape ialah perkara dibenci oleh masyarakat, sekali gus menjadikan trend itu dibenci dan dijauhi.
Tambah beliau, usaha memerangi penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah juga harus bermula dengan larangan penjualan rokok elektronik itu kepada individu berusia 18 tahun ke bawah. — The Merdeka Times