Antarabangsa
Pakistan lancar serangan nuklear jika Israel guna senjata nuklear ke atas kami – Iran

- “Pakistan telah memberi jaminan kepada kami bahawa jika Israel menggunakan bom nuklear ke atas Iran, mereka akan menyerang Israel dengan bom nuklear.” – Jeneral Mohsen Rezaei, ahli Majlis Keselamatan Negara Iran.
- Menurutnya, Pakistan telah berikrar untuk berdiri teguh di belakang Iran dan menyeru dunia Islam untuk bersatu.
- Mohsein juga mendakwa bahawa Tehran memiliki keupayaan tersembunyi yang belum didedahkan kepada dunia.
Tehran – Ketika negara lain dilihat tidak menyuarakan sokongan tegas dan proaktif terhadap serangan Israel ke atas Iran, Pakistan dikatakan lantang memberi amaran kepada negara haram Zionis.
Pakistan akan melancarkan serangan nuklear terhadap Israel sekiranya Israel menggugurkan bom nuklear ke atas Iran, dakwa seorang pegawai kanan tentera elit Iran.
Kenyataan Jeneral Mohsen Rezaei itu dibuat semasa satu temu bual di televisyen Iran ketika hujan peluru berpandu bertalu-talu dilancarkan antara Iran dan Israel.
“Pakistan telah memberi jaminan kepada kami bahawa jika Israel menggunakan bom nuklear ke atas Iran, mereka akan menyerang Israel dengan bom nuklear,” kata Mohsen, seorang pegawai kanan dalam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan ahli Majlis Keselamatan Negara Iran yang dipetik NDTV.
Israel dan Pakistan adalah antara sembilan negara yang kini memiliki senjata nuklear, menurut ICAN (Kempen Antarabangsa untuk Menghapuskan Senjata Nuklear).
Pakistan telah berikrar untuk “berdiri teguh di belakang Iran” dan menyeru dunia Islam untuk bersatu, kata Mohsen, merujuk kepada hubungan erat yang terjalin selepas pertukaran peluru berpandu antara kedua-dua negara pada awal tahun 2024.
Beliau juga mendakwa bahawa Tehran memiliki keupayaan tersembunyi yang belum didedahkan kepada dunia.
Pakistan belum memberikan sebarang komen rasmi mengenai penggunaan senjata nuklear terhadap Israel, namun negara itu secara terbuka menyokong Iran dalam perjuangannya menentang Israel. – The Merdeka Times
