Connect with us

Terkini

Nahas pelajar UPSI: Menteri Pengangkutan tiada strategi dalam isu kemalangan ragut nyawa – MUDA

Published

on

Foto: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (kiri) & Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz (kanan)
  • Menurut Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz, dalam hal ini Kerajaan Malaysia tidak lagi boleh terus menunggu Menteri Pengangkutan sahaja yang menubuhkan jawatankuasa, minta pendapat pakar atau kumpul pandangan, sedangkan sudah terbukti menteri terbabit amat perlahan dalam mengambil tindakan.
  • “Sudah berapa banyak nyawa melayang, rakyat cedera parah dan akhirnya, tidak ada apa-apa perubahan yang ketara kita nampak.
  • “Sampai bila kita mahu baca berita kemalangan maut? Pemandu yang culas dalam amanah dan pengusaha yang lepas tangan? Menteri Pengangkutan pun saya pasti – tidak ada strategi, pelan dan rancangan dalam hal ini,” katanya.

KUALA LUMPUR — Susulan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilapor maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), dekat Gerik, Perak, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengkritik Menteri Pengangkutan yang didakwa tiada strategi, pelan dan rancangan dalam isu kemalangan meragut nyawa.

Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz menegaskan isu kemalangan meragut nyawa seperti sedemikian harus dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurut beliau, dalam hal ini Kerajaan Malaysia tidak lagi boleh terus menunggu Menteri Pengangkutan sahaja yang menubuhkan jawatankuasa, minta pendapat pakar atau kumpul pandangan, sedangkan sudah terbukti menteri terbabit amat perlahan dalam mengambil tindakan.

“Sudah berapa banyak nyawa melayang, rakyat cedera parah dan akhirnya, tidak ada apa-apa perubahan yang ketara kita nampak.

“Ketika saya menulis ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman baru sahaja maklumkan pemandu bas dalam tragedi kemalangan mahasiswa UPSI ada 18 saman termasuklah kesalahan memandu laju, kemalangan, tidak memakai tali pinggang dan tiada lampu brek ketiga.

“Sampai bila kita mahu baca berita kemalangan maut? Pemandu yang culas dalam amanah dan pengusaha yang lepas tangan? Menteri Pengangkutan pun saya pasti – tidak ada strategi, pelan dan rancangan dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan satu hari ini.

Media sebelum ini melaporkan dalam insiden yang berlaku antara 12.30 hingga 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang disewa khas dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim terbalik selepas terlibat kemalangan dengan kenderaan jenis Perodua Alza di JRTB berhampiran Tasik Banding.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.

Mengulas lanjut, Amira yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa menyifatkan kemalangan itu sebagai tragedi amat dahsyat apabila 15 nyawa pelajar diragut dalam satu kemalangan ketika perjalanan pulang ke universiti, sementara yang lain cedera parah.

Tegasnya, ini bukan kali pertama kemalangan seperti itu berlaku dan malangnya ia juga bukan yang terakhir.

“Saya fikir kemalangan meragut nyawa ini seolah-olah satu pandemik di negara ini. Laporan rasmi menyebut pengguna jalan raya di Malaysia akan terlibat dalam kemalangan setiap 50 saat.

“Lagi parah, setiap 1 jam 56 minit, satu nyawa akan melayang dalam kemalangan.

“Mangsa kemalangan ini bukan hanya satu statistik atau nombor dalam carta, tetapi mereka adalah individu yang ada masa depan yang besar dan panjang, tapi kerana kemalangan jalan raya, hilang nyawa,” kata Amira. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author