Antarabangsa
Muslim Pro-Palestin, Zohran Mamdani menang calon Datuk Bandar New York
- Dengan 95 peratus undi dikira, Mamdani mendahului dengan 43 peratus, mengatasi tokoh veteran Andrew Cuomo dalam sistem undian “ranked-choice”.
- Kemenangan ini turut diraikan Senator Bernie Sanders dan Ahli Kongres Alexandria Ocasio-Cortez, yang berkata kemenangan Mamdani membuktikan suara akar umbi rakyat tidak boleh dipadam oleh dana jutawan atau pelobi pro-Israel.
- Namun, pendiriannya turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi konservatif dan Yahudi pro-Israel di New York yang menganggap beliau sebagai “terlalu ekstrem”.
NEW YORK – Zohran Mamdani, seorang ahli politik muda beragama Islam dan penyokong lantang perjuangan Palestin, mencipta kejutan besar dalam pemilihan parti Demokrat apabila menewaskan tokoh veteran Andrew Cuomo untuk menjadi calon Datuk Bandar New York.
Mamdani, 33 tahun, mewakili gelombang baharu politik progresif di Amerika Syarikat.
Beliau dikenali kerana sokongan terbukanya terhadap rakyat Palestin, termasuk pernah menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, satu kenyataan yang menjadikannya sasaran kritikan hebat daripada tokoh konservatif, termasuk Presiden Donald Trump.
Beliau kini menjadi suara paling jelas dalam kalangan calon utama politik AS yang menyokong Palestin secara terbuka.
Kemenangannya dianggap sebagai satu tamparan kepada kem arus perdana parti Demokrat, yang selama ini bersikap lebih berhati-hati dalam isu Timur Tengah, terutamanya membabitkan Israel.
Dengan 95 peratus undi dikira, Mamdani mendahului dengan 43 peratus, mengatasi Cuomo dalam sistem undian “ranked-choice”.
Kemenangan ini turut diraikan tokoh-tokoh progresif ternama seperti Senator Bernie Sanders dan Ahli Kongres Alexandria Ocasio-Cortez, yang berkata kemenangan Mamdani membuktikan suara akar umbi rakyat tidak boleh dipadam oleh dana jutawan atau pelobi pro-Israel.
Sokongan Mamdani terhadap Palestin juga sejajar dengan prinsip parti yang diwakilinya, Democratic Socialists of America, yang selama ini lantang menentang penjajahan dan penindasan di peringkat global.
Namun, pendiriannya turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi konservatif dan Yahudi pro-Israel di New York yang menganggap beliau sebagai “terlalu ekstrem”.
Calon Republikan Curtis Sliwa segera mengecam Mamdani sebagai ancaman kepada kestabilan bandar.
“Ini bukan masa untuk eksperimen radikal,” tegasnya.
Namun kenyataan itu tidak mematahkan semangat penyokong Mamdani yang melihat beliau sebagai simbol keadilan sosial dan suara untuk golongan tertindas.
Mamdani yang lahir di Uganda dan berdarah keturunan India kini berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri New York bagi kawasan Queens.
Kempen beliau yang fokus kepada isu kos sara hidup, pengangkutan awam percuma dan keadilan sosial turut menjadikan isu Palestin sebahagian daripada perjuangan global menentang penindasan.
Pemilihan Mamdani sebagai calon Demokrat bakal menyaksikan pertarungan sengit pada pilihan raya umum November ini, termasuk dengan Datuk Bandar semasa Eric Adams yang berdepan skandal dan akan bertanding sebagai calon bebas.
Kemenangan Mamdani bukan sahaja menggegarkan politik New York, malah membuka ruang kepada suara pro-Palestin untuk lebih menonjol dalam arena politik Amerika. -The Merdeka Times