Antarabangsa
Makin ramai rakyat Palestin mati ditembak tentera zionis saat tunggu bantuan NGO AS, Israel

- Saksi kejadian, Bassam Abu Shaar memberitahu AFP bahawa ribuan orang berkumpul sejak malam di pusat agihan bantuan GHF sebelum tentera Israel melepaskan tembakan sekitar jam 1 pagi waktu tempatan.
- “Kami tidak mampu membantu mangsa atau menyelamatkan diri sendiri kerana terlalu ramai,” katanya.
- Insiden itu berlaku berhampiran lokasi agihan bantuan yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang disokong Amerika Syarikat dan Israel.
GAZA — Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh akibat tembakan tentera Israel ketika mereka sedang menunggu bantuan kemanusiaan di tengah Gaza.
Menurut pasukan penyelamat dan perubatan tempatan semalam, insiden itu berlaku berhampiran lokasi agihan bantuan yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang disokong Amerika Syarikat dan Israel.
GHF bagaimanapun menafikan sebarang kejadian berlaku berdekatan pusat agihan mereka.
Tentera Israel pula mendakwa terdapat “suspek” yang cuba mendekati pasukan mereka di kawasan Netzarim dan tembakan amaran telah dilepaskan.
Namun tentera zionis menafikan sebarang kecederaan.
Insiden ini merupakan satu lagi daripada siri tembakan yang hampir berlaku setiap hari di sekitar kawasan agihan bantuan di Gaza sejak GHF mengambil alih peranan sebagai pengedar utama bantuan menggantikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hujung Mei lalu.
Ramai rakyat Palestin terbunuh bukan akibat serangan ke atas sasaran Hamas, tetapi ketika cuba mendapatkan bantuan.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan pada Khamis bahawa 12 orang telah terbunuh sejak tengah malam dalam usaha mendapatkan bantuan, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Pegawai pertahanan awam, Mohammad al-Mughayyir memberitahu agensi berita AFP bahawa 15 orang maut dan 60 cedera dalam kejadian tersebut.
Kekangan akses media antarabangsa ke Gaza, termasuk BBC, menyukarkan pengesahan angka sebenar.
Saksi kejadian, Bassam Abu Shaar memberitahu AFP bahawa ribuan orang berkumpul sejak malam di pusat agihan bantuan GHF sebelum tentera Israel melepaskan tembakan sekitar jam 1 pagi waktu tempatan.
“Kami tidak mampu membantu mangsa atau menyelamatkan diri sendiri kerana terlalu ramai,” katanya.
GHF menolak dakwaan itu dan menyifatkan kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza sebagai laporan palsu dan mengelirukan.
Sementara itu, Hamas menyeru PBB dan agensi-agensi kemanusiaannya untuk menjadi satu-satunya pengedar bantuan, manakala badan antarabangsa lain menolak sistem agihan baharu yang dikatakan melanggar prinsip kemanusiaan sejagat. -The Merdeka Times
