Terkini
Mahkamah putuskan fatwa Selangor sah setakat individu anuti liberalisme, pluralisme agama sahaja – Peguam

- Mahkamah Persekutuan sebulat suara putuskan fatwa Selangor adalah sah setakat individu yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisme agama sahaja.
- Mana-mana individu menganut dua fahaman itu hendaklah bertaubat dan boleh diambil tindakan.
- Pemakaian fatwa itu tidak sah untuk syarikat SIS Forum.
- Pembuatan fatwa tersebut di bawah Enakmen Pentabiran Agama Islam adalah sah.
- Itu antara inti pati keputusan Mahkamah Persekutuan yang dikongsikan Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
KUALA LUMPUR – Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara memutuskan fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014 adalah sah setakat individu yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisme agama sahaja.
Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berkata demikian selepas penghakiman rayuan Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keabsahan fatwa yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Fatwa yang diwartakan Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014 itu, mengisytiharkan SIS Forum dan mana-mana individu, pertubuhan, atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Sementara itu, Zainul Rijal berkata mahkamah tidak membuat keputusan terhadap isi kandungan fatwa tersebut kerana ia bukan di bawah bidang kuasa mahkamah sivil.
“Hanya yang berkait dengan syarikat pertubuhan atau institusi sahaja di luar bidang kuasa responden (kuasa Jawatankuasa Fatwa), arahan terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengikut penghakiman majoriti 3-1,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.
Mengulas inti pati keputusan Mahkamah Persekutuan tadi, Zainul Rijal secara ringkas berkata bahawa diputuskan pembuatan fatwa tersebut di bawah Enakmen Pentabiran Agama Islam adalah sah.
Katanya, mahkamah telah memutuskan bahawa pemakaian fatwa tersebut adalah sah untuk individu sahaja dan bukan ke atas syarikat SIS Forum Berhad.
“Jika syarikat pertubuhan institusi hendak diambil tindakan ia perlu diambil mengikut kuasa agensi Persekutuan tersebut.
“Mana-mana individu yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan boleh diambil tindakan,” katanya.
Pagi tadi, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 3-1 dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Rayuan serta membenarkan rayuan perayu-perayu setakat mana ia berkaitan dengan pemakaian fatwa tersebut kepada pertubuhan dan institusi.
Tengku Maimun berkata ia juga hanya terpakai setakat mana fatwa tersebut menyentuh agensi dan kuasa agensi Persekutuan (perintah terperinci adalah sebagaimana diperturunkan di dalam alasan penuh penghakiman).
Pada 21 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada SIS Forum dan pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar untuk meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun sama, yang menolak rayuan SIS Forum untuk membatalkan fatwa itu.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan fatwa disediakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukanlah keputusan muktamad dan dengan itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.
SIS Forum dan Zainah merayu kepada Mahkamah Rayuan selepas mereka tidak berjaya dalam usaha mereka di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan fatwa berkenaan. Permohonan semakan kehakiman mereka ditolak Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019. — The Merdeka Times
