Antarabangsa
Kopi usus babi tular di China, Jualan meningkat empat kali ganda
- Minuman ini dijual di sebuah kafe di Jiangyou, sebuah bandar kecil di wilayah Sichuan, dan mengandungi latte yang dicampur cecair rebusan usus babi serta cebisan chitterlings (usus kecil babi).
- Harga bagi satu cawan ialah 32 yuan (kira-kira RM21), dengan tiga tahap rasa berbeza iaitu ringan, sederhana dan kuat bergantung pada kepekatan rasa usus yang dimahukan.
- Minuman kopi kreatif sememangnya sering tular di China.
- Sebelum ini, kafe di wilayah Yunnan menjadi perhatian apabila memperkenalkan kopi dengan cacing goreng sebagai ramuan.
SICHUAN – Sebuah kafe di barat daya China menjadi tular selepas memperkenalkan minuman kopi unik yang dicampur dengan usus babi sekaligus mencetuskan reaksi pelbagai daripada netizen dan penggemar kopi.
Minuman ini dijual di sebuah kafe di Jiangyou, sebuah bandar kecil di wilayah Sichuan, dan mengandungi latte yang dicampur cecair rebusan usus babi serta cebisan chitterlings (usus kecil babi).
Harga bagi satu cawan ialah 32 yuan (kira-kira RM21), dengan tiga tahap rasa berbeza iaitu ringan, sederhana dan kuat bergantung pada kepekatan rasa usus yang dimahukan.
“Usus babi masak gaya rebus merah ialah hidangan popular di Jiangyou. Saya terfikir untuk gabungkan hidangan ini dengan kopi bagi mempromosikan kedai saya dan juga makanan tradisional bandar ini,” kata pemilik kafe, Zhang Yuchi, kepada media tempatan.
Menurut Zhang, usus babi dimasak diperoleh daripada sebuah restoran terkenal di bandar itu.
Cecair usus tersebut kemudiannya dicampurkan ke dalam latte dengan sukatan tepat iaitu 6 gram.
“Kami mahu pelanggan merasai keunikan rasa usus babi, tetapi dalam masa yang sama tidak menenggelamkan rasa asli kopi. Harapan kami adalah kebanyakan orang boleh menerimanya,” ujarnya.
Zhang menyifatkan rasa kopi tersebut sebagai gabungan masin dan manis, seakan “keju masin”.
Sejak minuman itu tular di media sosial awal Jun lalu, jualan kafe itu meningkat lebih empat kali ganda, dengan 80 peratus pelanggan mencuba minuman aneh tersebut.
“Saya peminat kopi. Bila lihat ramai mencadangkan kopi usus ini, saya datang dari Chengdu khas untuk cuba,” kata seorang pelanggan wanita.
Seorang lagi pelanggan dari utara China pula berkata rasa minuman itu boleh diterima walaupun ramai dari wilayah utara tidak biasa memakan usus babi.
Minuman kopi kreatif sememangnya sering tular di China.
Sebelum ini, sebuah kafe di wilayah Jiangxi mencampurkan lada goreng dan serbuk cili dalam latte mereka.
Sementara itu, sebuah lagi kafe di wilayah Yunnan menjadi perhatian apabila memperkenalkan kopi dengan cacing goreng sebagai ramuan. -The Merdeka Times