Terkini
Kesan negatif kes SIS Forum, kuasa fatwa kian terhakis -Peguam
- Menurut peguam, Lukman Sheriff antara kesan paling besar dan merugikan daripada keputusan itu ialah apabila mahkamah memutuskan fatwa yang menyentuh bahan terbitan adalah di luar bidang kuasa negeri.
- Lukman menyifatkan hujah Mahkamah bahawa fatwa itu tidak termasuk dalam Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan berkaitan agama Islam sebagai terlalu ringkas dan mengecewakan.
- Keputusan itu timbulkan persoalan sama ada isu penerbitan dianggap sepenuhnya di bawah kuasa Parlimen Persekutuan seperti dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, perkara 21.
- Lukman juga bimbang keputusan ini akan melumpuhkan fungsi fatwa.
KUALA LUMPUR — Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes melibatkan SIS Forum baru-baru ini mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan pengamal undang-undang dan pemerhati syariah apabila fatwa negeri dilihat tidak lagi mempunyai kuasa untuk mengawal bahan penerbitan, termasuk yang berkaitan fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
Menurut peguam, Lukman Sheriff antara kesan paling besar dan merugikan daripada keputusan itu ialah apabila mahkamah memutuskan bahawa fatwa yang menyentuh bahan terbitan adalah di luar bidang kuasa negeri.
Fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor sebelum ini menyatakan bahawa mana-mana penerbitan berunsur liberalisme dan pluralisme hendaklah diharamkan dan boleh dirampas namun ia telah dipotong sepenuhnya oleh mahkamah.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Lukman Sheriff.
“Mahkamah menyatakan fatwa seperti ini tidak boleh terangkum dalam Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan berkaitan agama Islam. Itu sahaja hujahnya, terlalu ringkas dan mengecewakan,” kata Lukman dalam satu hantaran di media sosial.
Keputusan itu menimbulkan persoalan sama ada Mahkamah menganggap isu penerbitan berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa Parlimen Persekutuan seperti yang termaktub dalam Jadual Kesembilan, Senarai Persekutuan, perkara 21 yang merangkumi surat khabar, penerbitan, pencetak dan mesin cetak.
Lukman turut mempersoalkan trend pemikiran kehakiman masa kini yang menolak pendekatan “complementary” atau saling melengkapi antara kuasa negeri dan persekutuan.
“Kalau begini masaklah kita. Dalam enakmen jenayah syariah, ada peruntukan kesalahan menerbitkan bahan bertentangan hukum syarak. Semua ini boleh dicabar dan berisiko jatuh,” tambah beliau.
Lukman juga bimbang keputusan ini akan melumpuhkan fungsi fatwa.
“Fatwa boleh menyatakan seseorang itu sesat, tetapi tidak boleh haramkan penerbitan olehnya. Maaf, ini tidak masuk akal pada saya. Fatwa jadi tidak bergigi,” katanya.
Lukman turut mengaitkan situasi ini dengan keputusan Mahkamah dalam kes Iki Putra yang menurutnya telah mula mengecilkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Beliau berpandangan bahawa satu-satunya jalan keluar daripada krisis bidang kuasa ini adalah dengan meminda Perlembagaan Persekutuan.
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan persoalan penting.
“Sampai bila kita mahu berdiam? Sudah banyak peruntukan enakmen syariah jatuh. Kini kuasa fatwa pula terkesan. Berapa banyak lagi yang perlu tumbang sebelum kita bertindak?”, soal Lukman. — The Merdeka Times