Terkini
‘Kes saman Yusoff Rawther ibarat bisul dalam pentadbiran Anwar Ibrahim’ – Pakar Perlembagaan
- Ini kerana menurut Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, selagi mana kes tersebut wujud atau tidak diselesaikan, ia akan terus jadi beban buat pentadbiran Kerajaan Madani.
- “Sepatutnya perbicaraan merit kes ini berjalan segera supaya ada keputusan yang jelas.
- “Jika terbukti DSAI tidak bersalah dan tuntutan YR itu palsu maka, semua boleh menarik nafas lega, namun jika terbukti sebaliknya, maka negara memerlukan tokoh lain untuk memimpin,” katanya.
- Pemimpin-pemimpin dalam kerajaan disaran menasihati PM agar menguruskan kes ini lebih baik, sama ada dengan berehat, bercuti sementara atau meletakkan jawatan, bergantung kepada kebijaksanaan mereka.
KUALA LUMPUR — Seorang pakar perlembagaan menyifatkan kes saman Muhammed Yusoff Rawther ibarat bisul dalam pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini kerana menurut Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, selagi mana kes tersebut wujud atau tidak diselesaikan, maka ia akan terus menjadi beban buat pentadbiran Kerajaan Madani.
Justeru tegasnya, kes itu perlu diselesaikan dengan segera dan tidak diperlambatkan dengan soal teknikal, termasuk isu perlindungan atau kekebalan khas buat Perdana Menteri sebagaimana ia telah ditolak Mahkamah Tinggi lalu hendak dipanjangkan lagi kepada peringkat rayuan.
Bagi Fathi, kesemua perkara itu sebenarnya menjadikan bisul tersebut semakin membesar.
“Sepatutnya perbicaraan merit kes ini berjalan segera supaya ada keputusan yang jelas.
“Jika terbukti DSAI tidak bersalah dan tuntutan YR itu palsu maka, semua boleh menarik nafas lega, namun jika terbukti sebaliknya, maka negara memerlukan tokoh lain untuk memimpin,” katanya kepada The Merdeka Times di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dua persoalan diajukan iaitu berkenaan gesaan beberapa pihak supaya Anwar Ibrahim menarik diri daripada memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan hakim-hakim kanan kerana beliau didakwa berdepan isu konflik kepentingan.
Juga berkenaan sama ada terdapat keperluan untuk Anwar Ibrahim mengambil cuti rehat daripada jawatan perdana menteri sehingga kesnya di mahkamah selesai, merujuk kepada kes saman dikemukakan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff.
Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata sistem yang memberikan kuasa kepada seseorang Perdana Menteri terlibat dalam pelantikan Peguam Negara dan hakim-hakim itu tidak salah.
Tetapi yang salah, menurut beliau adalah apabila ia disalahgunakan untuk kepentingan tidak sah.
“Kita berharap soal ini diberikan perhatian oleh pemimpin-pemimpin lain dalam kerajaan.
“Mungkin mereka perlu menasihati PM dalam menguruskan kes ini dengan lebih baik… Bagaimana caranya, sama ada berehat, bercuti sementara, atau letak jawatan, itu terpulang kepada kebijaksanaan mereka.
“Lagi pun mereka perlu ingat, jika isu ini tidak diurus dengan baik, kesannya boleh merebak kepada semua parti dalam kerajaan,” katanya. — The Merdeka Times