Terkini
Jika SIS menang esok, Semua fatwa negeri berisiko dicabar – Pengerusi MAIS

- Keputusan rayuan SIS Forum di Mahkamah Persekutuan esok boleh beri implikasi besar terhadap institusi fatwa di negara ini.
- Jika keputusan memihak SIS Forum, ia akan buka ruang untuk pihak lain cabar kesemua fatwa dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.
- “Fatwa adalah keputusan dibuat demi kemaslahatan umat Islam secara keseluruhan, namun jika ia dibenarkan untuk dicabar, masyarakat Islam akan menjadi keliru dan hilang arah terhadap isu-isu berkaitan agama,” – Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin.
KUALA LUMPUR — Sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan esok berhubung rayuan Sisters in Islam (SIS) Forum (Malaysia) bagi mencabar keabsahan fatwa yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam boleh memberi implikasi besar terhadap institusi fatwa di negara ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin dilapor berkata sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan memihak kepada SIS Forum, ia akan membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk mencabar kesemua fatwa dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.
Salehuddin turut mengingatkan bahawa keputusan kes tersebut bukan hanya memberi kesan kepada Selangor, malah berpotensi menjejaskan negeri-negeri lain kerana SIS Forum turut beroperasi di negeri lain, termasuk Wilayah Persekutuan.
Justeru, pihaknya berharap keputusan Mahkamah Persekutuan akan memihak kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, MAIS dan kerajaan Negeri Selangor.
“Kita tahu bahawa isu berkaitan SIS Forum ini adalah isu yang besar yang mana keputusan fatwa negeri Selangor telah dicabar pertubuhan itu. Fatwa menyatakan SIS forum tidak menepati atau mengikuti ajaran Islam sebenar.
“Sekiranya tidak memihak kepada kita akan membolehkan mereka mencabar apa sahaja fatwa selepas ini dan implikasinya sangat besar,” katanya dipetik media tempatan hari ini.
Beliau turut dipetik menegaskan bahawa fatwa tidak dikeluarkan secara sewenang-wenangnya kerana ia melalui penelitian mendalam oleh Jawatankuasa Fatwa yang terdiri daripada para ulama pakar dalam bidang agama.
“Fatwa adalah keputusan yang dibuat demi kemaslahatan umat Islam secara keseluruhan, namun jika ia dibenarkan untuk dicabar, masyarakat Islam akan menjadi keliru dan hilang arah terhadap isu-isu berkaitan agama,” katanya.
BERNAMA sebelum ini melaporkan keputusan rayuan SIS Forum (Malaysia) untuk mencabar fatwa dikeluarkan pihak berkuasa agama Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam akan diketahui 19 Jun ini.
Fatwa itu, yang diwartakan Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas, selain meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menapis laman sesawang sosial yang bercanggah ajaran Islam serta hukum syarak. — The Merdeka Times
