Antarabangsa
Israel halang konvoi bantuan Afrika Utara, Mesir perketat kawalan sempadan Rafah

- Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, pada Rabu telah mengarahkan pasukan tenteranya untuk menghalang kemasukan konvoi bantuan kemanusiaan dari negara-negara Afrika Utara ke Semenanjung Gaza yang masih terkepung.
- “Saya menjangkakan pihak berkuasa Mesir akan menghalang mereka daripada tiba di sempadan dan tidak membenarkan sebarang provokasi mahupun cubaan memasuki Gaza.”- Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz
- Kementerian Luar Mesir turut menegaskan bahawa sebarang lawatan yang tidak melalui saluran rasmi tidak akan dipertimbangkan.
TEL AVIV – Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, pada Rabu telah mengarahkan pasukan tenteranya untuk menghalang kemasukan konvoi bantuan kemanusiaan dari negara-negara Afrika Utara ke Semenanjung Gaza yang masih terkepung.
Arahan tersebut diumumkan menerusi satu kenyataan rasmi yang menyatakan bahawa Katz telah mengarahkan tentera untuk menghalang “penunjuk perasaan jihadis” daripada memasuki Gaza dari arah Mesir.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa Mesir agar bertanggungjawab mengekang kemaraan kumpulan tersebut ke sempadan Mesir-Israel.
“Saya menjangkakan pihak berkuasa Mesir akan menghalang mereka daripada tiba di sempadan dan tidak membenarkan sebarang provokasi mahupun cubaan memasuki Gaza,” kata Katz dalam kenyataan itu.
Susulan itu, kerajaan Mesir menyatakan bahawa semua delegasi asing yang berhasrat untuk mengunjungi kawasan sempadan Gaza, termasuk bandar Arish dan lintasan Rafah, perlu mendapatkan kelulusan awal melalui saluran rasmi.
Namun begitu, kenyataan Mesir tidak menjelaskan sama ada konvoi tersebut telah mendapatkan kebenaran yang diperlukan.
Kementerian Luar Mesir turut menegaskan bahawa sebarang lawatan yang tidak melalui saluran rasmi tidak akan dipertimbangkan.
Selain itu, Mesir turut mengingatkan bahawa semua warga asing mesti mematuhi undang-undang kemasukan negara tersebut, termasuk mendapatkan visa atau permit yang sah lebih awal sebelum tiba.
Konvoi bantuan berkenaan terdiri daripada lebih 1,000 aktivis dari negara-negara Afrika Utara, menaiki 12 buah bas dan 100 kereta persendirian. Mereka telah bertolak dari Tunisia pada Isnin dan dijangka tiba di bandar Rafah, berhampiran sempadan Gaza, pada Khamis.
Dalam masa yang sama, tentera Israel terus menolak gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata dan meneruskan serangan kejam di Gaza sejak Oktober 2023, yang telah meragut lebih 55,100 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Penutupan sepenuhnya lintasan bantuan sejak Mac turut mendorong agensi kemanusiaan memberi amaran mengenai risiko kebuluran terhadap 2.4 juta penduduk Gaza. Israel kini turut berdepan pertuduhan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan waran tangkap daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa terhadap pemimpinnya, termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. -The Merdeka Times
