Terkini
Guru bimbang banyak silibus tidak selesai walau sudah separuh tahun – Anuar Ahmad
- Timbalan Pengarah MINDA UKM, Dr Anuar Ahmad berkata dalam situasi ini, tindakan yang mungkin diambil guru untuk menyelesaikannya adalah membuat kelas ekspres atau `mengajar asal siap’.
- Guru mungkin akan mengajar dalam keadaan laju untuk menghabiskan silibus, sekali gus boleh menyebabkan ramai murid ketinggalan.
- “Murid kaya, masuk tuisyen. Selamatlah mereka… Apa jadi pada murid miskin? Murid yang keluarga tak mampu hantar anak-anak pergi tuisyen? Terus ketinggalan,” katanya.
KUALA LUMPUR — Banyak keluhan timbul daripada para guru yang bimbang masih banyak silibus belum diselesaikan walaupun ketika ini sudah memasuki separuh tahun persekolahan, kata Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad.
Beliau berkata banyak program di dalam dan luar sekolah yang menyebabkan Pembelajaran Dan PemudahCaraan (PDPc) yang dirancang tertangguh.
Selain itu, katanya tahun ini jumlah hari PDPc juga lebih pendek berikutan tahun depan sesi baharu persekolahan akan bermula pada Januari 2026.
“Mungkin ada yang akan kata, ‘Cikgu tak semestinya habiskan semua silibus’. Itu menunjukkan mereka tak faham kerja guru.
“Kalau tak habiskan silibus tahun ini, siapa nak sambung tahun depan? Cikgu tahun depan nak mula di mana?
“Silibus sekolah kita dibina berturutan. Mana boleh potong ikut suka. Lainlah kurikulum kita berkonsepkan tematik seperti Finland. Cikgu yang rancang dan susun ikut keperluan sekolah masing-masing,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Hantaran itu turut disertakan satu gambar tangkap layar komen, bernama Tutor Ashraf Matematik yang mendakwa di sekolah menengah ketika ini ramai pelajar Tingkatan Satu masih belajar bab empat iaitu berbaki sembilan bab lagi, sedangkan mereka hanya ada masa lagi lima bulan untuk menyelesaikannya.
Dia menyifatkan situasi itu menunjukkan perkembangan pembelajaran ketika ini amat perlahan.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Anuar Ahmad.
Mengulas lanjut, Anuar berkata sekiranya guru tidak menghabiskan silibus yang ada, mereka bukan sahaja perlu menjawab dengan Pengetua atau Guru Besar (PGB), tapi juga perlu menjelaskannya kepada ibu bapa dan kemungkinan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Jelasnya, dalam situasi ini, tindakan yang mungkin diambil guru untuk menyelesaikannya adalah membuat kelas ekspres atau apa yang disifatkan beliau`mengajar asal siap’.
Guru mungkin akan mengajar dalam keadaan laju untuk menghabiskan silibus, sekali gus boleh menyebabkan ramai murid ketinggalan.
“Murid kaya, masuk tuisyen. Selamatlah mereka… Apa jadi pada murid miskin? Murid yang keluarga tak mampu hantar anak-anak pergi tuisyen? Terus ketinggalan.