Terkini
Darah babi dalam penapis rokok?

- Penapis rokok “mungkin” mengandungi hemoglobin babi (darah babi).
- Laporan itu dibangkitkan Medical Mythbusters Malaysia (M3) menerusi hantaran di Facebook hari ini berserta beberapa tangkap layar laporan berita, termasuk dari portal antarabangsa berkenaan penemuan tersebut.
- Menurut kajian itu, hemoglobin babi iaitu sejenis protein dalam darah digunakan bagi meningkatkan keberkesanan penapis rokok untuk menapis bahan kimia beracun sebelum masuk ke dalam paru-paru perokok.
KUALA LUMPUR — Penapis rokok “mungkin” mengandungi hemoglobin babi (darah babi).
Laporan itu dibangkitkan Medical Mythbusters Malaysia (M3) menerusi hantaran di Facebook hari ini berserta beberapa tangkap layar laporan berita, termasuk dari portal antarabangsa berkenaan penemuan tersebut.
M3 berkata pihaknya membangkitkan semula laporan berita itu sebagai peringatan berikutan penemuan tersebut telah menimbulkan kebimbangan besar, terutama bagi umat Islam dan ‘vegetarian’.
Tambahnya, industri tembakau sering menyembunyikan ramuan penuh dalam produk mereka yang bermakna penghisap rokok mungkin merokok sesuatu yang bertentangan kepercayaan agama atau diet mereka tanpa sedar.
“Untuk umat Islam: Penggunaan darah babi menjadikan produk tersebut Haram bukan sahaja sebab kesan mudarat kesihatannya tetapi juga mengandungi unsur tidak halal dalam penapisnya (Haemoglobin Filter). Persatuan Halal antarabangsa telah mengeluarkan amaran.
“Sudah tiba masanya untuk ketelusan! Hak anda untuk mengetahui apa yang anda hisap. Fikirkan semula pilihan anda,” katanya.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Medical Mythbusters Malaysia.
Merujuk kepada salah satu laporan berita yang dilampirkan M3, bertajuk, “Warning to religious groups after traces of pig’s blood found in cigarette filters” bertarikh 30 Mac 2010, seorang profesor dari Australia memberi amaran kepada kumpulan-kumpulan agama bahawa penapis rokok mungkin mengandungi kesan darah babi.
Simon Chapman berkata kajian terkini dijalankan di Belanda telah mengenal pasti sebanyak 185 kegunaan industri bagi babi termasuk penggunaan hemoglobin dalam penapis rokok.
Profesor dari Universiti Sydney itu menyatakan bahawa kajian tersebut memberikan gambaran tentang dunia pembuatan rokok dan berkemungkinan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganut Islam dan Yahudi yang taat.
Menurut kajian itu, hemoglobin babi iaitu sejenis protein dalam darah digunakan bagi meningkatkan keberkesanan penapis rokok untuk menapis bahan kimia beracun sebelum masuk ke dalam paru-paru perokok. — The Merdeka Times
