Connect with us

Terkini

“Bukan ingin dapatkan imuniti” – Anwar Ibrahim

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, permohonan itu melibatkan integriti sistem perlembagaan negara dan keperluan memastikan jawatan awam tertinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin dilakukan secara strategik, bermotifkan politik, atau mengganggu institusi.
  • “Perkara ini (permohonan difailkan) tidak pernah berkait dengan usaha mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelakkan daripada penelitian undang-undang,” katanya dalam hantaran berbahasa Inggeris yang disiar di Facebook pada Rabu.

KUALA LUMPUR — Susulan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan, Perdana Menteri itu menegaskan bahawa perkara tersebut bukan bertujuan mendapatkan kekebalan (imuniti) peribadi atau mengelak daripada penelitian undang-undang. 

Sebaliknya permohonan tersebut, menurut Anwar ia melibatkan integriti sistem perlembagaan negara dan keperluan memastikan jawatan awam tertinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin dilakukan secara strategik, bermotifkan politik, atau mengganggu institusi.

“Petang ini (semalam), Mahkamah Tinggi (Kuala Lumpur) telah menolak permohonan saya untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara ini (permohonan difailkan) tidak pernah berkait dengan usaha mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelakkan daripada penelitian undang-undang,” katanya dalam hantaran berbahasa Inggeris yang disiar di Facebook pada Rabu.

 

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar bagi merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada sebarang kes saman sivil.

Hakim Roz Mawar Rozain dilapor memutuskan demikian selepas mendapati permohonan berkenaan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA).

Beliau berkata persoalan dikemukakan adalah bersifat spekulatif dan tidak perlu bagi pelupusan kes saman tersebut, serta tidak membabitkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan perlembagaan.

Mahkamah turut menolak permohonan Anwar untuk menangguh prosiding saman sivil difailkan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther pada 2021 yang mendakwa dirinya diserang secara seksual oleh Anwar sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

Susulan itu, Peguam Anwar, Datuk Seri K Raja Segaran dilapor berkata pihaknya akan memfailkan rayuan mengikut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Sementara Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff berkata anak guamnya yang akan menjadi saksi pertama dalam kes saman itu, tidak sabar untuk memberikan keterangannya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tetap komited sepenuhnya kepada kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan maruah tadbir urus demokrasi.

“Proses undang-undang akan diteruskan, dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya tanpa gangguan atau kompromi,” kata Ahli Parlimen Tambun itu. — The Merdeka Times

Author