Connect with us

Antarabangsa

AS desak negara asing boikot persidangan PBB anjuran Perancis-Arab Saudi

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Presiden AS, Donald Trump

 

  • Persidangan tersebut dijadual berlangsung di New York dari 17 hingga 20 Jun, dengan fokus utama terhadap penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.
  • Washington memberi amaran kepada negara-negara tersebut bahawa penyertaan dalam persidangan itu akan dianggap sebagai bertentangan dengan kepentingan dasar luar AS.
  • Dokumen itu juga menyebut bahawa menghadiri persidangan tersebut adalah tindakan “anti-Israel”.

WASHINGTON – Amerika Syarikat dilapor sedang melobi negara-negara asing supaya tidak menghadiri persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan yang dianjurkan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi.

Persidangan tersebut dijadual berlangsung di New York dari 17 hingga 20 Jun, dengan fokus utama terhadap penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

Bercakap kepada Reuters, kabel diplomatik AS berkata, Washington memberi amaran kepada negara-negara tersebut bahawa penyertaan dalam persidangan itu akan dianggap sebagai bertentangan dengan kepentingan dasar luar AS.

Dokumen itu juga menyebut bahawa menghadiri persidangan tersebut adalah tindakan “anti-Israel” dan mampu mengganggu usaha sensitif yang sedang dijalankan untuk menamatkan peperangan di Gaza serta membebaskan tebusan.

Perancis yang merupakan ahli tetap Majlis Keselamatan PBB dan sekutu rapat AS dalam NATO, serta Arab Saudi sebagai rakan utama AS di Timur Tengah, menyeru negara seperti Britain dan sekutu Eropah lain untuk mengiktiraf negara Palestin dalam persidangan berkenaan.

Bagaimanapun, laporan turut menyatakan bahawa AS telah memberi amaran kepada Britain dan Perancis supaya tidak mengambil langkah tersebut.

Kumpulan Arab dalam PBB turut mengadakan rundingan dan menyatakan bahawa kejayaan persidangan tersebut akan diukur berdasarkan pengiktirafan negara-negara utama terhadap kenegaraan Palestin.

Dalam perkembangan berkaitan, Duta AS ke Israel, Mike Huckabee dilaporkan berkata bahawa dasar AS kini tidak lagi menyokong penubuhan negara Palestin di Tebing Barat yang dijajah.

Washington juga mendakwa bahawa pengiktirafan unilateral terhadap Palestin akan memberi tekanan kepada Israel ketika berperang, dan secara tidak langsung menyokong musuh negara itu.

Kabel diplomatik itu menyatakan ia seakan menjadikan 7 Oktober sebagai Hari Kemerdekaan Palestin, merujuk kepada serangan Hamas.

Akhir sekali, AS menegaskan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan Mesir dan Qatar untuk mencapai gencatan senjata di Gaza serta membebaskan tahanan.

Washington menyifatkan persidangan anjuran Perancis dan Arab Saudi itu sebagai penghalang kepada rundingan yang sedang berjalan serta memperkukuh kedudukan Hamas ketika rundingan damai masih berlangsung.-The Merdeka Times

Author