Connect with us

Terkini

Anwar dibenar tangguh sementara perbicaraan kes saman Yusoff Rawther

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) & Yusoff Rawther (kanan).
  • Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Supang Lian membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan saman sivil tersebut sehingga keputusan dibuat berkenaan permohonan penangguhan penuh oleh perdana menteri.
  • Perbicaraan bagi permohonan penangguhan penuh itu ditetapkan pada 21 Julai.
  • “Setelah mendengar hujahan peguam perayu dan responden, kami berpendapat bahawa bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kami mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah ad-interim bagi mengekalkan integriti permohonan penangguhan oleh perayu, sementara menunggu pelupusan permohonan penangguhan tersebut.
  • “Oleh itu, kami dengan ini mengeluarkan perintah ad-interim untuk menangguhkan semua prosiding, termasuk perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi, sehingga pelupusan permohonan penangguhan oleh perayu,” kata Supang.

KUALA LUMPUR — Mahkamah Rayuan hari ini mengeluarkan perintah ad-interim untuk menangguhkan sementara semua prosiding berkaitan saman sivil difailkan Muhammed Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan serangan seksual pada 2018.

Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Supang Lian membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan saman sivil tersebut sehingga keputusan dibuat berkenaan permohonan penangguhan penuh oleh perdana menteri.

Perbicaraan bagi permohonan penangguhan penuh itu ditetapkan pada 21 Julai.

“Setelah mendengar hujahan peguam perayu dan responden, kami berpendapat bahawa bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kami mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah ad-interim bagi mengekalkan integriti permohonan penangguhan oleh perayu, sementara menunggu pelupusan permohonan penangguhan tersebut.

“Oleh itu, kami dengan ini mengeluarkan perintah ad-interim untuk menangguhkan semua prosiding, termasuk perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi, sehingga pelupusan permohonan penangguhan oleh perayu,” katanya dipetik Malaysiakini ketika menyampaikan keputusan.

Turut bersidang dalam panel itu ialah Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Keputusan itu bermakna semua prosiding berkaitan saman sivil, termasuk perbicaraan penuh yang dijadualkan bermula 16 Jun nanti, akan ditangguhkan sehingga permohonan Anwar diputuskan di mahkamah.

Anwar sebelum ini dilapor memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding perbicaraan kes saman difailkan terhadapnya pada 2021 oleh bekas pegawai penyelidiknya, Muhammed Yusoff berkait satu insiden yang berlaku sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain pada Rabu lalu menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan Muhammed Yusoff.

Roz Mawar turut menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan prosiding perbicaraan kes saman itu, dan memerintahkan ia dijalankan mulai 16 Jun ini. — The Merdeka Times

Author