Connect with us

Terkini

(VIDEO) Akaun TikTok dari Indonesia didakwa tawar khidmat masuk-keluar Malaysia secara haram

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Foto: Tangkap layar video dimuat naik TikTok terbabit.

KUALA LUMPUR — Sebuah akaun TikTok didakwa dari Indonesia dengan berani mengiklankan video perkhidmatan masuk dan keluar Malaysia secara haram menerusi jalan laut menggunakan ‘speedboat’ atau bot laju yang difahamkan ia beroperasi dua hari sekali.

Menurut video-video terbabit, antara laluan haram ditawarkan adalah dari Selangor untuk pergi ke Tanjung Balai atau Dumai dengan harga didakwa RM1,600 dan perjalanan yang mengambil masa sekitar tiga hingga empat jam.

Malah, pemilik akaun TikTok, @speedboat_tki itu di ruangan komen juga meletakkan jaminan 100 peratus berhubung keselamatan pihak yang menerima perkhidmatan ditawarkan khusus buat mereka tidak mempunyai dokumen dan pasport.

“Berangkat dari mana dan turunnya sampai mana, bos? — Okey, kita berangkat dari Selangor ya, bang. Destinasinya ada dua laluan, iaitu ke Dumai, Riau dan ke Tanjung Balai, Medan,” kata audio dari salah satu video TikTok itu dalam bahasa Indonesia.

“Ini laluan belakang, ya? — Ya, betul bang. Ini laluan khas ikut belakang untuk kawan-kawan yang tidak mempunyai dokumen atau tidak mahu pasport mereka disenarai hitam. Mereka boleh ikut laluan saya,” kata audio video TikTok itu.

 

Foto: Tangkap layar video dimuat naik akaun TikTok terbabit.

Tindakan akaun TikTok, @speedboat_tki itu didedahkan seorang pengguna Thread, @cikgukamil4436  yang mempersoalkan sama ada negara ini tidak terasa hina apabila negara jiran membuat video mengiklankan perkhidmatan sedemikian.

“Tak rasa terhina ke tengok Indonesia siap boleh buat TikTok iklan perkhidmatan masuk dan keluar Malaysia secara haram?

“Macam ni je tahap keselamatan Malaysia? Ada komen aku baca tulis penguatkuasa Malaysia dah dibayar.. Astaghfirullah…,” katanya sambil memuat naik beberapa video dari akaun TikTok terbabit.

 

Foto: Tangkap layar hantaran pengguna Thread tersebut.

Tinjauan The Merdeka Times di akaun TikTok tersebut mendapati pemilik akaun itu juga sangat aktif dalam membalas setiap komen yang ditinggalkan netizen, termasuk daripada mereka yang berminat untuk mengetahui harga dan perjalanan ditawarkan.

 

Foto: Tangkap layar video dimuat naik akaun TikTok terbabit.

Ada juga pengguna TikTok lain meninggalkan komen di salah satu video yang dimuat naik meminta dia supaya tidak terlalu terbuka memaparkan perkhidmatan ditawarkan kerana dikhuatiri akan ada pihak melaporkan sekali gus menyukarkan individu tidak mempunyai dokumen untuk memasuki negara menggunakan jalan haram.

Bagaimanapun, pemilik akaun itu berkata,” Tenang kak, kita dah settle 🤝”, tanpa dijelaskan maksud sudah diselesaikan itu.

Foto: Tangkap layar video dimuat naik akaun TikTok terbabit.

Foto: Tangkap layar video dimuat naik TikTok terbabit.

Ketika ada yang mempersoalkan tindakan pemilik TikTok itu yang dianggap berani memuat naik video-video mengiklankan perkhidmatan tersebut, dia dengan kembali mempersoalkan pertanyaan mereka. — The Merdeka Times

 

 

Author