Terkini
(VIDEO) Haramkan vape jejas ekonomi orang Melayu?

KUALA LUMPUR — Industri vape membantu kaum Melayu di negara ini menjana pendapatan apabila kebanyakan mereka menjadikannya sebagai sumber ekonomi.
Ketua Pemuda AMANAH Perlis, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad berkata kebanyakan kelompok itu juga menjalankan perniagaan tersebut secara sah dengan memperoleh lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Tambah beliau, lebih 3,000 pengusaha kecil dan sederhana terlibat dalam industri berkenaan yang merangkumi rantaian pembekal, pengeluar dan peruncit.
“Kita tidak boleh nak menafikan sumbangan industri vape kepada negara… Kalau kita lihat lebih daripada 3,000 pengusaha kecil dan sederhana yang melibatkan diri dalam industri ini daripada pembekal, pengeluar, hingga peruncit dan kita tahu sebenarnya vape ini, teknologi ini kebanyakannya datang daripada China dan juga beberapa negara lain.
“Kita nampak (ia) satu teknologi yang kita kata memberi bantuan ekonomi kepada actually golongan Melayu, golongan Melayu yang banyak sekali menjadikan vape ini sebagai punca ekonomi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel di episod terbaru program Analisis Bersama Finaz Yunus bertajuk, “Mengapa sukar untuk Malaysia sekat penjualan vape?”.
Program terbitan Studio Merdeka itu yang bersiaran di YouTube The Merdeka Times di sini hari ini turut menampilkan Profesor Mohamad Haniki Nik Mohamed dari Jabatan Amalan Farmasi, Kuliyyah Farmasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Dalam masa sama, Dr Ahmad Fadhzil berkata ketika ini terdapat beberapa negeri telah mulai melarang penjualan rokok elektronik terbabit, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa kerajaan pusat belum melabelkan vape sebagai haram atau mengambil tindakan sama. — The Merdeka Times
