Connect with us

Antarabangsa

UK sekat aktivis peneroka Israel, Rundingan perdagangan bebas dengan Tel Aviv digantung

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Setiausaha Luar, David Lammy
  • Dalam ucapan di parlimen semalam, Setiausaha Luar, David Lammy mengecam tindakan retorik melampau kerajaan Israel ketika ini.
  • Beliau turut mengumumkan bahawa Britain akan memanggil duta Israel di London dan menggantung perjanjian perdagangan bebas dengan Israel.
  • “Saya mengumumkan bahawa rundingan perjanjian perdagangan bebas baharu dengan kerajaan Israel ini telah digantung,” tegas Lammy.
  • Sebagai respons terhadap pengumuman kerajaan UK, Kementerian Luar Israel menyatakan bahawa penggantungan rundingan perdagangan akan merugikan ekonomi UK dan didorong oleh sentimen anti-Israel.

UNITED KINGDOM — United Kingdom mengumumkan sekatan terhadap beberapa peneroka Israel terkenal di Tebing Barat yang diduduki, termasuk aktivis veteran peneroka dan Ketua Gerakan Nachala, Daniella Weiss.

Weiss muncul dalam sebuah dokumentari BBC yang mendapat perhatian meluas baru-baru ini mengenai situasi di Tebing Barat yang diduduki, yang dikendalikan oleh pengarah dokumentari British, Louis Theroux.

Dalam dokumentari itu, Weiss mendakwa beliau boleh menghubungi pembantu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada bila-bila masa.

Beliau turut dirakam memandu berhampiran sempadan Gaza dalam cubaan untuk memasuki kawasan tersebut, sebelum dihalang oleh tentera Israel.

Weiss juga menyatakan bahawa tidak wujud keganasan peneroka terhadap rakyat Palestin.

Theroux, sebagai penyampai dokumentari tersebut, menggambarkan sikap acuh tak acuh Weiss terhadap nyawa rakyat Palestin sebagai ‘sosiopatik’.

Sekatan baharu oleh UK turut menyasarkan Eliav Libi dan Zohar Sabah, dua peneroka haram dan dua organisasi yang menyokong keganasan terhadap komuniti Palestin di Tebing Barat.

Dalam ucapan di parlimen pada petang Selasa, Setiausaha Luar, David Lammy mengecam tindakan retorik melampau kerajaan Israel ketika ini.

Beliau turut mengumumkan bahawa Britain akan memanggil duta Israel di London dan menggantung perjanjian perdagangan bebas dengan Israel.

“Saya mengumumkan bahawa rundingan perjanjian perdagangan bebas baharu dengan kerajaan Israel ini telah digantung,” tegas Lammy.

“Kami juga akan menyemak semula kerjasama di bawah pelan hala tuju dua hala 2030. Tindakan kerajaan Netanyahu telah menjadikan langkah ini satu keperluan.

“Hari ini, rakan sejawatan saya, menteri luar untuk Timur Tengah, akan memanggil duta Israel ke Pejabat Luar Negeri untuk menyampaikan mesej ini,” tambahnya.

Lammy turut menegaskan bahawa rakyat Palestin mesti diberikan hak untuk memiliki negara sendiri dan hidup bebas daripada penjajahan.

Sebagai respons terhadap pengumuman kerajaan UK, Kementerian Luar Israel menyatakan bahawa penggantungan rundingan perdagangan akan merugikan ekonomi UK dan didorong oleh sentimen anti-Israel.

“Jika atas dasar obsesi anti-Israel dan pertimbangan politik dalaman kerajaan Britain sanggup merugikan ekonominya sendiri, itu adalah keputusan mereka,” kata kementerian tersebut.

“Mandat British telah berakhir tepat 77 tahun yang lalu. Tekanan luar tidak akan mengubah haluan Israel,” tambahnya. -The Merdeka Times

Author