Antarabangsa
UK, Perancis dan Kanada ancam tindakan tegas terhadap Israel jika berterusan serang Gaza

- United Kingdom, Perancis dan Kanada menggesa Israel menghentikan segera operasi ketenteraan di Gaza serta menarik balik sekatan ke atas bantuan kemanusiaan, atau berdepan tindakan lebih tegas daripada mereka.
- “Kami tidak akan berdiam diri selagi kerajaan Netanyahu meneruskan tindakan keterlaluan ini.
- “Jika Israel enggan menghentikan serangan dan menyekat bantuan, kami akan ambil tindakan lanjut secara konkrit,” tegas mereka.
- Mereka juga mengecam kenyataan keras oleh pemimpin Israel yang mencadangkan pengusiran penduduk Gaza secara kekal.
LONDON – United Kingdom, Perancis dan Kanada menggesa Israel menghentikan segera operasi ketenteraan di Gaza serta menarik balik sekatan ke atas bantuan kemanusiaan, atau berdepan tindakan lebih tegas daripada mereka.
Dalam kenyataan bersama yang tegas, ketiga-tiga negara menyifatkan serangan Israel yang telah meragut lebih 53,000 nyawa sejak Oktober 2023 sebagai ‘melampaui batas’, dan memberi amaran tentang kemungkinan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Mereka menyatakan bahawa penderitaan penduduk Gaza kini berada pada tahap yang ‘tidak tertanggung’, dan langkah Israel untuk hanya membenarkan sejumlah kecil makanan masuk ke wilayah itu disifatkan tidak mencukupi.
Kenyataan itu turut menggesa kerjasama segera Israel dengan PBB bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berkesan kepada rakyat Gaza yang terjejas.
Pada masa sama, Hamas turut digesa membebaskan semua baki tebusan yang ditahan sejak serangan 7 Oktober 2023.
Ketiga-tiga negara menuduh Israel menyekat bantuan penting dimana ia merupakan tindakan yang boleh dianggap sebagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Mereka juga mengecam kenyataan keras oleh pemimpin Israel yang mencadangkan pengusiran penduduk Gaza secara kekal.
“Kami tidak akan berdiam diri selagi kerajaan Netanyahu meneruskan tindakan keterlaluan ini.
“Jika Israel enggan menghentikan serangan dan menyekat bantuan, kami akan ambil tindakan lanjut secara konkrit,” tegas mereka.
Selain Gaza, kenyataan itu turut membantah perluasan penempatan haram di Tebing Barat, yang menurut mereka menjejaskan kestabilan serantau dan menutup peluang bagi penubuhan negara Palestin.
Ketiga-tiga negara mengulangi sokongan terhadap rundingan gencatan senjata yang dikendalikan oleh AS, Qatar dan Mesir, serta menyatakan komitmen terhadap penyelesaian dua negara, termasuk kemungkinan mengiktiraf negara Palestin sebagai langkah ke arah perdamaian jangka panjang.-The Merdeka Times
