Connect with us

Politik

Pemilihan PKR: Serangan dalaman karma buat Rafizi – Bekas SUPOL Khalid Ibrahim

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Faekah Husin (kiri), mantan Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim (tengah) & Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli (kanan)
  • “Ini karma,” demikian kata ringkas Faekah Husin enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan Menteri Ekonomi itu yang juga penyandang Timbalan Presiden PKR.
  • Faekah sedang berusaha melupakan detik hitam pernah berlaku ke atas Khalid yang ditikam orang parti suatu ketika dahulu.
  • Rafizi sebelum ini dilapor membidas pihak tertentu dalam parti yang disifatkannya sebagai berpura-pura mahu berdamai selepas mencetuskan ketegangan dan menyerang beliau secara senyap dari dalam.
  • Dalam ceramah jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Rakyat (HIRUK) di Ipoh, Perak pada Ahad, Rafizi menyatakan rasa kesalnya terhadap budaya ‘tikam belakang’ yang berlaku menjelang Pemilihan PKR 2025, yang menurutnya merosakkan semangat demokrasi dalam parti.
  • Bagaimanapun, beberapa pihak dilapor mengaitkan drama tikam belakang dalam parti itu juga pernah berlaku ke atas Khalid.

KUALA LUMPUR — Serangan dalaman ke atas calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli disifatkan umpama satu karma oleh bekas Setiausaha Politik (SUPOL) kepada mantan Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Ini karma,” demikian kata ringkas Faekah Husin enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan Menteri Ekonomi itu yang juga penyandang Timbalan Presiden PKR.

Faekah berkata beliau sedang berusaha melupakan detik hitam pernah berlaku ke atas Khalid yang ditikam orang parti suatu ketika dahulu.

“Biarlah ia menjadi lipatan sejarah hitam yang saya sendiri berusaha untuk melupakannya.

“Kebanyakan cerita, memang telah diketahui ahli PKR dan rakyat Selangor,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini.

Tambah Faekah, sebagai ketua pasukan Khalid sama ada dalam gerakan politik ataupun strategi pentadbiran, beliau mengetahui perkara berkaitan.

Rafizi sebelum ini dilapor membidas pihak tertentu dalam parti yang disifatkannya sebagai berpura-pura mahu berdamai selepas mencetuskan ketegangan dan menyerang beliau secara senyap dari dalam.

Dalam ceramah jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Rakyat (HIRUK) di Ipoh, Perak pada Ahad, Rafizi menyatakan rasa kesalnya terhadap budaya ‘tikam belakang’ yang berlaku menjelang Pemilihan PKR 2025, yang menurutnya merosakkan semangat demokrasi dalam parti.

Bagaimanapun, beberapa pihak dilapor mengaitkan drama tikam belakang dalam parti itu juga pernah berlaku ke atas Khalid.

Khalid dipecat serta-merta daripada PKR pada 9 Ogos 2014. Pemecatan tersebut dikatakan berpunca daripada keengganannya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, walaupun diarah kepimpinan parti untuk memberi laluan kepada Presiden PKR ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ia adalah sebahagian strategi politik dikenali sebagai Langkah Kajang yang dikatakan merupakan antara strategi dikaitkan dengan Rafizi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Guthrie Bhd itu dilantik sebagai Menteri Besar Selangor pada 13 Mac 2008 sebelum beliau menyembah mohon surat peletakan jawatan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 26 Ogos 2014.

Bagaimanapun, pelan penuh risiko itu berakhir dengan Sultan Selangor menolak satu nama sahaja dicadangkan PKR iaitu Dr Wan Azizah sebelum Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai menteri besar.

Pemilihan PKR kali ini dilapor menyaksikan pertembungan sengit bagi jawatan Timbalan Presiden PKR yang disandang Rafizi.

Ahli Parlimen Pandan itu dicabar Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang juga anak presiden parti bagi merebut kerusi nombor dua PKR di mana sehingga kini majoriti pemimpin Cabang PKR seluruh negara menyatakan sokongan secara terbuka kepada Nurul Izzah bagi merebut kerusi tersebut.— The Merdeka Times

Author