Terkini
Kelantan sedia pasang papan tanda larangan LGBT

- “Sekiranya ia menghasilkan natijah yang baik, Kelantan mungkin akan turut melaksanakan langkah sedemikian memandangkan ia memang baik dan boleh dilaksanakan,” – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
- Menurut Fadzli, kerajaan negeri sependapat dengan Terengganu bahawa LGBT adalah musuh besar yang menyumbang kepada keruntuhan moral masyarakat.
- Beliau berkata budaya LGBT juga menjadi penyumbang besar kepada masalah kesihatan, termasuk penyakit kelamin dan pelbagai lagi selain ia jelas ditentang agama.
KUALA LUMPUR — Kerajaan Kelantan bersedia memasang papan tanda larangan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagaimana dilaksanakan di Terengganu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata pihaknya menganggap tindakan itu sebagai satu pendekatan yang baik.
“Sekiranya ia menghasilkan natijah yang baik, Kelantan mungkin akan turut melaksanakan langkah sedemikian memandangkan ia memang baik dan boleh dilaksanakan,” katanya dipetik Harakahdaily hari ini.
Menurut Fadzli, kerajaan negeri sependapat dengan Terengganu bahawa LGBT adalah musuh besar yang menyumbang kepada keruntuhan moral masyarakat.
Beliau berkata budaya LGBT juga menjadi penyumbang besar kepada masalah kesihatan, termasuk penyakit kelamin dan pelbagai lagi selain ia jelas ditentang agama.
Sebelum ini, Kerajaan Terengganu dilapor tidak menafikan mesej pada papan tanda amaran berkaitan amalan homoseksual yang dipasang di beberapa lokasi strategik di negeri itu sememangnya bertujuan menimbulkan rasa benci terhadap perbuatan tersebut dalam kalangan masyarakat.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata tindakan itu merupakan sebahagian usaha mendidik rakyat agar menjauhi perkara bertentangan nilai agama dan norma masyarakat.
Dalam masa sama, pemasangan papan tanda itu dilapor mendapat kritikan beberapa pihak, termasuk aktivis transgender, Nisha Ayub yang menyifatkannya sebagai satu bentuk sokongan berbahaya terhadap kebencian serta contoh nyata diskriminasi dilakukan pihak berkuasa.
Turut mengkritik papan tanda itu adalah Justice for Sisters (JFS) bersama 11 lagi organisasi masyarakat sivil yang menyifatkan tindakan Kerajaan Negeri Terengganu tersebut sebagai bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof bagaimanapun berpandangan sebaliknya, iaitu papan tanda berkenaan bukan sahaja menepati Perlembagaan, bahkan merupakan pendekatan amat berhemah untuk memberikan peringatan kepada rakyat Negeri Terengganu supaya menjauhi amalan bertentangan fitrah manusia. — The Merdeka Times
