Kolumnis
Kejamkah makan daging haiwan?

Adakah kita benar-benar kejam hanya kerana kita makan daging? Atau sebenarnya ada pihak yang semakin melampau dengan ideologi baru yang cuba memanipulasi emosi manusia?
Gaya hidup veganisme dan cruelty-free adalah amalan yang menolak segala bentuk penggunaan produk haiwan atas alasan ingin mengelakkan kekejaman terhadap makhluk hidup.
Gaya hidup ini semakin diterima termasuk dalam kalangan sebahagian Muslim. Namun, yang membimbangkan, ialah ada antara mereka yang tanpa disedari mengeluarkan kenyataan mengelirukan – seolah-olah memakan daging itu suatu perbuatan kejam.
Lebih merisaukan, di Barat telah muncul gerakan veganisme yang menyeru supaya tidak lagi mengagihkan daging korban kepada fakir miskin pada Hari Raya Aidiladha, sebaliknya menggantikannya dengan sayur-sayuran seperti lobak merah dan brokoli.
Walaupun kelihatan lucu, hakikatnya konsep ini amat membimbangkan. Kita sedang menyaksikan kebangkitan satu penafsiran radikal terhadap agama Islam melalui lensa nilai-nilai moden dan pascamoden.
Lebih tepat lagi, ini seperti satu cubaan untuk mengubah norma-norma Islam secara radikal berpandukan apa yang dianggap oleh kumpulan ini sebagai nilai-nilai kemanusiaan moden.
Tidak mustahil ideologi radikal veganisme ini akan menular ke dalam pemikiran masyarakat kita sekiranya ia terus dibiarkan hanya kerana kita beranggapan ‘ia tidak mungkin berlaku di Malaysia’.

Foto: Gerakan veganisme, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) Asia mengadakan demonstrasi di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC) untuk mempromosikan veganisme di Malaysia pada 2023.
Dari manakah asal ideologi veganisme?
Istilah veganisme muncul pada 1944 yang diperkenalkan oleh Donald Watson, salah seorang pengasas The Vegan Society bagi membezakan gerakan ini daripada vegetarianisme yang masih membenarkan telur dan susu.
Konsep veganisme mereka lebih bersifat radikal dengan definisi awalnya sebagai ‘suatu doktrin bahawa manusia harus hidup tanpa mengeksploitasikan haiwan’.
Definisi ini kemudian diperincikan, menjadikan veganisme bukan sekadar satu doktrin tetapi suatu cara hidup menyeluruh:
‘Satu falsafah dan cara hidup yang berusaha untuk mengecualikan – sejauh mana yang mungkin dan praktikal – semua bentuk eksploitasi dan kekejaman terhadap haiwan untuk tujuan makanan, pakaian atau apa-apa tujuan lain; dan seterusnya menggalakkan pembangunan serta penggunaan alternatif bebas haiwan demi manfaat manusia, haiwan dan alam sekitar.’
Ideologi veganisme berdiri atas satu konsep asas iaitu harm — “kecederaan” atau “kemudaratan.”
Mereka membina naratif bahawa manusia telah meletakkan diri sebagai ‘penguasa mutlak’ dalam hierarki spesies yang membuatkan mereka bebas memperalatkan, mencederakan dan membunuh haiwan sewenang-wenangnya.
Sedangkan bagi mereka, haiwan juga adalah makhluk yang sedar (conscious), berperasaan (sentient) dan mempunyai emosi kompleks sama seperti manusia.
Jadi, menjadikan haiwan sebagai makanan atau menggunakan hasilnya untuk kelangsungan hidup manusia dikira sebagai penindasan yang tidak bermoral dan menyalahi hak asasi haiwan.
Berpaksikan pandangan Foucault tentang masyarakat Barat moden yang mengagungkan perasaan sebagai asas moral, jadi veganisme telah mensasarkan hujah serangan mereka kepada emosi simpati dan rasa bersalah manusia.
Sebagaimana dihuraikan Dan Hooley dalam A Moral Argument for Veganism:
“Kita menggunakan konsep ‘kemudaratan’ dalam erti kata yang mudah difahami, iaitu menjadikan seseorang lebih buruk dari sebelumnya, secara jelas dan nyata.
“Kemudaratan bukan sekadar kesan sampingan, tetapi suatu keburukan yang memberi kesan mendalam kepada individu. Konsep ini ditonjolkan kerana ia memainkan peranan utama dalam membina hujah etika.”
Lebih-lebih lagi apabila hujah tersebut disertai dengan visual haiwan yang terseksa dan istilah seperti “eksploitasi”, “kekejaman”, dan “pembunuhan” yang diulangi berkali-kali sehingga mencetuskan persepsi bahawa memakan daging haiwan sama nilainya dengan menzalimi sesama manusia.
Sentimen sebegini yang memerangkap ramai Muslim supaya tunduk, menyerah dan tanpa sedar tergelincir menerima naratif veganisme yang mengecam syariat pemakanan dan penyembelihan daging haiwan dalam Islam.
Veganisme dan Islam
Hakikatnya, nilai Islam tidak berpaksikan sentimen emosi yang ekstrem dan berubah-ubah, sebaliknya berasaskan fitrah yang seimbang.
Fakta sains jelas menunjukkan bahawa manusia dicipta untuk memakan tumbuhan dan haiwan. Anatomi manusia sendiri membuktikan:
- Gigi geraham (mengisar tumbuhan) dan gigi taring (mengoyak daging).
- Enzim pepsin dan lipase gastrik berfungsi untuk mencerna protein dan lemak haiwan.
- Usus manusia — panjangnya berada di antara karnivor dan herbivor — membuktikan keseimbangan antara dua sumber makanan.
Dalam Islam, tiada larangan memakan daging haiwan. Malah ia dibenarkan demi memenuhi keperluan fitrah manusia — asalkan diambil secara sederhana, beretika dan halal.
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah Al-Baqarah 2:168)
Sejujurnya, hujah gerakan veganisme amat rapuh dan dipenuhi emosi yang tersasar daripada prinsip keseimbangan dan fitrah.
Jika benar memakan haiwan itu zalim, maka singa, harimau, serigala dan buaya — semuanya juga zalim kerana memburu dan memakan haiwan lain.
Hakikatnya, fisiologi, anatomi dan sistem penghadaman haiwan karnivor diciptakan khusus untuk memakan daging.
Bayangkan seekor kucing atau singa diberikan hanya lobak merah, brokoli ataupun kobis, bukankah itu zalim, memudaratkan dan bertentangan dengan fitrahnya?
Ini juga disebut Royal Society for the Prevention of Cruelty to Animals (RSPCA) dalam What Should Cats Eat?: “Kucing memerlukan diet seimbang berasaskan daging untuk kekal cergas dan sihat — mereka tidak boleh menjadi vegetarian.”
Terbukti dengan menidakkan fitrah haiwan karnivor boleh mendatangkan kemudaratan kepada haiwan tersebut.
Ironinya, idealisme vegan ini pernah meragut nyawa bayi lelaki akibat kekurangan zat setelah dipaksa ibunya — seorang pengamal vegan tegar — hanya memakan buah-buahan, sayur-sayuran dan susu badan.
Bukankah ini juga satu bentuk kemudaratan seperti yang dihujahkan gerakan veganisme?

Foto: Kes bayi meninggal dunia akibat komplikasi dari kekurangan zat makanan kerana hanya diberi makan buah-buahan, sayur-sayuran dan susu berasaskan tumbuhan.
Prinsip Islam sangat jelas – ia menolak kedua-kedua ekstrem. Ia tidak terlalu ekstrem ke kiri (menyeksa haiwan sesuka hati) dan ia juga tidak ekstrem ke kanan (mengharamkan penggunaan haiwan sepenuhnya).
“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik dan bertaqwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman”. (Surah Al-Maidah: 87-88)
Islam memerintahkan kita berlaku ihsan terhadap haiwan – memberi makan secukupnya, menyembelih dengan cara berperikemanusiaan dan mengelakkan penderaan.
Sabda Rasulullah SAW dalam hadith qudsi: “Wahai hambaKu, Aku telah haramkan bagiku kezaliman dan Aku juga telah jadikannya haram dalam kalangan kamu. Maka janganlah kamu saling berbuat zalim.” (Sahih Muslim, No. 2577a)
Justeru, apabila gerakan veganisme cuba memanipulasi sentimen emosi bagi mengukuhkan hujah mereka, umat Islam perlu berwaspada agar tidak terperangkap dalam naratif yang secara halus berusaha menghakis syariat Islam.
Ideologi yang berpaksikan nilai sekular tanpa panduan wahyu, bukan sahaja bercanggah dengan prinsip agama, malah berpotensi merosakkan fitrah keseimbangan alam.
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
