Connect with us

Antarabangsa

Indonesia hapus 380,000 kandungan pornografi dalam talian termasuk FB promosi sumbang mahram

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Menurut Pengarah Jabatan Pengawasan Ruang Siber, Alexander Sabar, bahan berkenaan merupakan sebahagian daripada 1.8 juta kandungan digital berbahaya yang telah dipadam sejak Oktober tahun lalu.
  • Selasa lalu, polis menahan enam individu yang didakwa mengedar kandungan pornografi melibatkan wanita dan kanak-kanak bawah umur melalui dua kumpulan Facebook yang mempromosikan sumbang mahram dikenali sebagai Fantasi Sedarah dan Suka Duka.

Indonesia berjaya menghapuskan hampir 380,000 imej, video dan hantaran pornografi daripada internet sepanjang tempoh tujuh bulan yang lalu sebagai usaha besar-besaran untuk melindungi ruang dalam talian, khususnya bagi kanak-kanak.

Menurut Pengarah Jabatan Pengawasan Ruang Siber, Alexander Sabar,  bahan berkenaan merupakan sebahagian daripada 1.8 juta kandungan digital berbahaya yang telah dipadam sejak Oktober tahun lalu.

“Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia (Komdigi) memberi keutamaan kepada penghapusan bahan pornografi bagi membendung penyebarannya dan melindungi kanak-kanak daripada pendedahan yang merbahaya,” kata Sabar yang mula bertugas pada Januari kepada agensi berita Antara.

Komdigi yang ditubuhkan semasa rombakan kabinet di bawah Presiden Prabowo Subianto pada Oktober tahun lalu menggantikan Kementerian Komunikasi dan Maklumat sebelum ini.

Sejak penubuhannya, kementerian ini telah menyekat 29 kumpulan Facebook, 50 akaun serta 19 hantaran yang melanggar peraturan anti-pornografi. Tambahan pula, 17 akaun di platform media sosial X turut ditutup atas pelanggaran sama.

Selasa lalu, polis menahan enam individu yang didakwa mengedar kandungan pornografi melibatkan wanita dan kanak-kanak bawah umur melalui dua kumpulan Facebook yang mempromosikan sumbang mahram dikenali sebagai Fantasi Sedarah dan Suka Duka.

Kementerian tersebut bekerjasama dengan Meta, syarikat induk Facebook, untuk menyekat kumpulan-kumpulan tersebut dan yang berkaitan dengannya.

Fantasi Sedarah, yang bermaksud “fantasi hubungan darah”, dilaporkan mempunyai ribuan ahli dan menumpukan pada kandungan bertemakan sumbang mahram yang melibatkan kanak-kanak.

Selepas menerima kecaman awam, kumpulan itu menukar nama kepada Suka Duka.

“Enam suspek ditangkap di beberapa lokasi di pulau Jawa dan Sumatera,” kata jurucakap polis Erdi Chaniago kepada majalah berita Tempo.

Beliau menambah bilangan suspek mungkin akan bertambah mengikut perkembangan siasatan. Polis menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap penyebaran pornografi kanak-kanak.-The Merdeka Times

Author