Connect with us

Antarabangsa

Ibu paksa anak 11 tahun jadi pelacur demi dadah dan bayar hutang ceti

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan
  • Menurut keterangan mangsa, pada Ogos 2023, mak ciknya membawa beliau berjumpa lelaki tersebut, yang kemudian membawanya ke sebuah hotel.
  • Dia diperkosa dan pulang ke rumah dalam keadaan berdarah dan kesakitan. Namun, ibunya hanya mengatakan itu masalah haid biasa.
  • Pada 19 Mei 2025, waran tangkap dikeluarkan terhadap ibu dan mak cik mangsa atas tuduhan pemerdagangan manusia dan memperdagangkan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun untuk eksploitasi seksual.
  • Ibu mangsa ditahan hari yang sama dan ujian dadah mengesahkan penggunaan syabu.
  • Beliau mengaku telah mengatur tiga pertemuan antara anaknya dan lelaki tersebut termasuk bayaran sebanyak 1,500, 2,000 dan 5,000 baht  dengan semua wang itu diambil oleh mak ciknya.

 

THAILAND – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun mendedahkan bahawa beliau dipaksa menjadi pelacur oleh ibu dan mak ciknya sejak berumur 11 tahun.

Mereka dilapor menjualnya kepada seorang lelaki berusia 50 tahun untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah dan membayar hutang kepada ceti haram setiap hari.

Kes yang menyayat hati ini terbongkar selepas remaja itu memaklumkan penderitaannya kepada bapa dan ibu tirinya pada 26 April.

Empat hari kemudian, bapanya menghubungi Yayasan Pavena untuk Kanak-Kanak dan Wanita bagi mendapatkan bantuan undang-undang dan perlindungan.

Menurut si bapa, beliau dan ibu mangsa telah lama berpisah dan tidak pernah berkahwin secara sah. Mereka mempunyai dua anak perempuan berumur 13 dan 8 tahun yang tinggal bersama ibu mereka.

Beliau mendakwa bekas pasangannya sering menghalangnya daripada bertemu dengan anak-anak.

Apabila mangsa memberitahu ibu tirinya bahawa dia tidak tahan lagi tinggal dengan ibu dan neneknya kerana penderaan dan layanan buruk, bapanya segera datang dari Phuket ke Hua Hin untuk membawanya pulang.

Ketika itulah, anak perempuannya mendedahkan bahawa dia telah dijual untuk tujuan seks oleh ibu dan mak ciknya.

Menurut keterangan mangsa, pada Ogos 2023, mak ciknya membawa beliau berjumpa lelaki tersebut, yang kemudian membawanya ke sebuah hotel.

Dia diperkosa dan pulang ke rumah dalam keadaan berdarah dan kesakitan. Namun, ibunya hanya mengatakan itu masalah haid biasa.

Dua bulan kemudian, kejadian sama hampir berulang, namun mangsa enggan menuruti.

Lelaki itu menghantarnya kembali ke taman di mana ibunya sedang menunggu, lalu berkata agar anak itu tidak dibawa lagi. Ibunya kemudiannya memaki hamun beliau.

Mangsa turut mendedahkan bahawa ibunya adalah penagih syabu dan sering menyuruh beliau mengambil dadah daripada rakan-rakannya bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa.

Ibu tersebut juga mempunyai terlalu banyak hutang yang perlu dibayar setiap hari.

Pada 30 April, Yayasan Pavena menghubungi pihak polis Hua Hin. Ketua Balai Polis, Kolonel Kampanat Na Wichai, telah mengarahkan siasatan penuh.

Mangsa segera dihantar untuk pemeriksaan perubatan dan temu bual oleh pasukan profesional. Kedua-dua mangsa kini berada di bawah jagaan Yayasan Pavena.

Pada 19 Mei, waran tangkap dikeluarkan terhadap ibu dan mak cik mangsa atas tuduhan pemerdagangan manusia dan memperdagangkan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun untuk eksploitasi seksual.

Ibu mangsa ditahan hari yang sama dan ujian dadah mengesahkan penggunaan syabu. Beliau mengaku telah mengatur tiga pertemuan antara anaknya dan lelaki tersebut  termasuk bayaran sebanyak 1,500, 2,000 dan 5,000 baht  dengan semua wang itu diambil oleh mak ciknya.

Pihak polis kini sedang mengesan mak cik tersebut dan berusaha mengenal pasti serta mendakwa lelaki yang telah melanggan perkhidmatan seks daripada mangsa. -The Merdeka Times

 

Author