Terkini
Cetus masalah sosial serius, Polis Melaka rangka cadangan haram jualan vape

- Polis Melaka sedang rangka kertas cadangan haramkan penjualan vape susulan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan rokok elektronik tersebut dalam kalangan pelajar sekolah serta implikasi sosial lebih meluas.
- Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata pihaknya sedang mengkaji semua aspek berkaitan sebelum mengusulkan cadangan itu kepada kerajaan negeri.
- “Kita lihat pelajar sekolah yang sepatutnya balik ke rumah selepas tamat sesi persekolahan, tetapi ada yang ditemui terbongkang bawah pokok, menghisap vape, ini bukan perkara kecil, ia sudah menjadi satu masalah sosial serius,” katanya.
KUALA LUMPUR — Polis Melaka sedang merangka kertas cadangan untuk mengharamkan penjualan vape di negeri itu susulan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan rokok elektronik tersebut dalam kalangan pelajar sekolah serta implikasi sosial lebih meluas.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata pihaknya sedang mengkaji semua aspek berkaitan sebelum mengusulkan cadangan itu kepada kerajaan negeri.
Dzulkhairi berkata antara yang diberi perhatian dalam kertas cadangan itu adalah peningkatan ketara kes pelajar sekolah terlibat dalam penggunaan vape, termasuk yang mengandungi bahan terlarang.
“Kita lihat pelajar sekolah yang sepatutnya balik ke rumah selepas tamat sesi persekolahan, tetapi ada yang ditemui terbongkang bawah pokok, menghisap vape, ini bukan perkara kecil, ia sudah menjadi satu masalah sosial serius.
“Kertas kerja yang sedang disiapkan akan meneliti pelbagai sudut termasuk implikasi kepada ekonomi masyarakat dan penjual vape sedia ada, sekiranya larangan itu dilaksanakan serta-merta,” katanya dipetik media tempatan ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.
Katanya, negeri Melaka boleh mengambil contoh negeri Johor yang sejak awal telah melaksanakan larangan penjualan vape, selain beberapa negeri lain yang kini turut dalam proses melaksanakan tindakan sama.
Terdahulu, dalam perkembangan berbeza media melaporkan satu perbincangan berhubung saranan pengharaman penjualan vape di negeri Melaka akan diadakan bersama EXCO kerajaan negeri dalam masa terdekat.
EXCO Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata terdapat keperluan meneliti hal itu sebelum sebarang keputusan dibuat kerajaan negeri.
Menurut beliau, difahamkan banyak kes penghisap vape diserang penyakit, termasuk radang paru-paru yang dilaporkan di seluruh negara.— The Merdeka Times
