Connect with us

Antarabangsa

Bantah sokongan AS terhadap perang Gaza, pengasas aiskrim Ben & Jerry’s ditahan

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

Foto: Pengasas bersama aiskrim Ben & Jerry’s, Ben Cohen
  • Penahanan Ben Cohen dan para penunjuk perasaan lain pada hari Rabu berlaku ketika Setiausaha Kesihatan AS, Robert F. Kennedy Jr., sedang memberikan keterangan kepada penggubal undang-undang mengenai usaha pembaharuan beliau terhadap agensi-agensi kesihatan persekutuan.
  • “Kongres membunuh kanak-kanak miskin di Gaza dengan membeli bom, dan membayarnya dengan menendang kanak-kanak keluar dari Medicaid di AS,” kata Cohen semasa diiring keluar oleh polis.
  • Ketujuh-tujuh mereka telah ditahan atas tuduhan “berhimpun, menghalang atau menyusahkan,” serangan terhadap pegawai polis atau enggan ditahan, menurut kenyataan Polis Capitol AS.

WASHINGTON – Pengasas bersama aiskrim Ben & Jerry’s dan enam individu lain telah ditahan selepas mengganggu satu sesi pendengaran Senat Amerika Syarikat bagi membantah sokongan Washington terhadap perang Israel di Gaza.

Penahanan Ben Cohen dan para penunjuk perasaan lain pada hari Rabu berlaku ketika Setiausaha Kesihatan AS, Robert F. Kennedy Jr., sedang memberikan keterangan kepada penggubal undang-undang mengenai usaha pembaharuan beliau terhadap agensi-agensi kesihatan persekutuan.

“Kongres membunuh kanak-kanak miskin di Gaza dengan membeli bom, dan membayarnya dengan menendang kanak-kanak keluar dari Medicaid di AS,” kata Cohen semasa diiring keluar oleh polis yang dilaporkan Al Jazeera.

Ketujuh-tujuh mereka telah ditahan atas tuduhan “berhimpun, menghalang atau menyusahkan,” serangan terhadap pegawai polis atau enggan ditahan, menurut kenyataan Polis Capitol AS.

Polis menyatakan Cohen hanya didakwa atas kesalahan berhimpun, menghalang atau menyusahkan — satu kesalahan ringan yang boleh dihukum penjara 90 hari, denda $500, atau kedua-duanya sekali.

Cohen dan rakan pengasas Ben & Jerry’s, Jerry Greenfield, memang dikenali kerana aktivisme progresif mereka, termasuk penentangan terhadap tindakan Israel di Gaza dan Tebing Barat yang dijajah Zionis.

Dalam satu temu bual bersama bekas hos Fox News, Tucker Carlson, awal bulan ini, Cohen, yang berketurunan Yahudi, menyatakan bahawa AS mempunyai “hubungan yang pelik” dengan Israel, yang melibatkan Washington “membekalkan senjata untuk pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.”

“Sekarang ini, menjadi rakyat Amerika bermaksud kita adalah pengeksport senjata terbesar di dunia, kita mempunyai ketenteraan terbesar di dunia, dan kita menyokong penyembelihan rakyat di Gaza,” kata Cohen.

“Kalau ada orang yang membantah penyembelihan rakyat Gaza, kita tangkap mereka. Apa sebenarnya yang negara kita perjuangkan?”

Pada tahun 2021, Ben & Jerry’s mengumumkan bahawa mereka tidak akan lagi membenarkan pemegang lesen mereka di Israel menjual ais krim di Tebing Barat dan Gaza, dengan menyatakan bahawa tindakan itu “tidak selari dengan nilai-nilai kami.” – The Merdeka Times

 

Author