Terkini
136 tapak rumah ibadat bukan Islam tanpa kebenaran di Pulau Pinang

- Terdapat 136 tapak rumah ibadat bukan Islam (RIBI) tanpa kebenaran di Pulau Pinang setakat Mei tahun ini iaitu 115 di kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), dan 21 lagi di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
- EXCO Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding rekod dari tahun 2023 hingga 2024, di mana sebanyak 149 tapak RIBI tanpa kebenaran dikenal pasti di kawasan MBPP, manakala MBSP mencatatkan 43 tapak.
- “Jadi ini menunjukkan bahawa usaha pemantauan dan pengemaskinian data yang dilaksanakan telah memberi kesan positif ke arah penyelesaian isu ini,” kata Siew Khim pada Sidang DUN Pulau Pinang hari ini.
- Enam struktur RIBI tanpa kebenaran di negeri itu telah dikenakan tindakan penguatkuasaan.
KUALA LUMPUR — Terdapat 136 tapak rumah ibadat bukan Islam (RIBI) tanpa kebenaran di Pulau Pinang setakat Mei tahun ini iaitu 115 di kawasan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), dan 21 lagi di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
EXCO Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding rekod dari tahun 2023 hingga 2024, di mana sebanyak 149 tapak RIBI tanpa kebenaran dikenal pasti di kawasan MBPP, manakala MBSP mencatatkan 43 tapak.
“Jadi ini menunjukkan bahawa usaha pemantauan dan pengemaskinian data yang dilaksanakan telah memberi kesan positif ke arah penyelesaian isu ini,” kata Siew Khim pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang itu berkata demikian bagi menjawab soalan Amir Hamzah Abdul Hashim (PAS -Permatang Pasir) mengenai jumlah RIBI yang dibina tanpa kebenaran di Pulau Pinang daripada tahun 2023 hingga 2025.
Mengulas lanjut, Siew Khim berkata sebanyak enam struktur RIBI tanpa kebenaran di negeri itu telah dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Beliau berkata tindakan itu kebanyakannya melibatkan ‘shrine’ dan struktur kecil lain yang menceroboh tanah rizab kerajaan.
Katanya, enam struktur terlibat terdiri daripada satu di Seberang Perai Utara, dua di Seberang Perai Tengah, dua di Seberang Perai Selatan dan satu lagi di Daerah Timur Laut.
“Kerajaan negeri akan lebih kerap mengadakan sesi libat urus bersama setiap pihak persatuan RIBI bagi menerangkan tentang pentingnya mengemukakan permohonan rasmi sebelum membina sebarang struktur binaan.
“Pendekatan awal kerajaan negeri perlu menjalankan kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk menggalakkan setiap RIBI bagi mendaftar maklumat terperinci bagi membantu kerajaan negeri untuk mempunyai rekod rasmi kewujudan setiap RIBI.
“Proses seterusnya, kerajaan negeri perlu mewujudkan dasar yang jelas bagi sebarang pembinaan atau ubah suai RIBI, wajib memohon kebenaran merancang dan pengesahan pelan bangunan melalui One Stop Centre iaitu OSC negeri,” katanya.
Tambah beliau, langkah itu bagi memastikan reka bentuk, struktur, dan lokasi bangunan mematuhi Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) serta pelan guna tanah yang diluluskan. — The Merdeka Times
