Connect with us

Terkini

Terma ‘kuil haram’ tepat untuk rujuk kuil dibina bukan atas tanah sendiri – Peguam 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Peguam, Muhammad Farid Wajdi Hanif
  • Peguam, Muhammad Farid Wajdi Hanif berkata dalam konteks bahasa perkataan haram membawa maksud ditegah (terlarang) oleh undang-undang, tidak sah (di sisi undang-undang) sebagaimana dinyatakan Kamus Dewan Edisi Keempat.
  • “Dah kalau bina kuil sampai tuan tanah suruh keluar tapi tak mahu keluar, siapa yang suka? Hadap sajalah dengar gelaran haram tu,” – Farid.
  • Beliau ulas persoalan dibangkitkan Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu & Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N Sivakumar berkenaan adakah kerana kuil dibina tanpa kelulusan, maka ia layak digelar haram yang turut memberikan gambaran penganutnya juga melakukan perkara haram.
  • Farid berkata negara ini tidak mengamal dasar mana-mana individu duduk paling lama di sesuatu tanah maka dia boleh ‘claim’ atau menuntut bahawa dia adalah pemilik.
  • Malaysia mengamalkan dasar siapa pemilik berdaftar, maka dialah pemiliknya dan berhak melakukan apa saja ke atas tanah tersebut.

KUALA LUMPUR — Seorang peguam berpandangan penggunaan terma ‘kuil haram’ adalah tepat jika kita ingin merujuk kepada kuil yang dibina di tanah bukan miliknya.

Muhammad Farid Wajdi Hanif berkata dalam konteks bahasa perkataan haram membawa maksud ditegah (terlarang) oleh undang-undang, tidak sah (di sisi undang-undang) sebagaimana dinyatakan Kamus Dewan Edisi Keempat.

“Adalah jijik seseorang yang melanggar peraturan dan undang-undang, bersuara apabila kita menggelar mereka dengan panggilan kasar.

“Seolah-olah seorang pencuri, marah apabila orang kampung menggelar dia pencuri. Dia anggap orang yang menggelar dia itu telah menghina agama yang dia anuti.

“Pening lah ini macam. Orang kita tak pernah pun marah mereka nak buat ibadat kat kuil. Buat perayaan apa pun, kita layankan saja… Tiba-tiba bila kita nak cantas kuil haram, terus cop kita hina agama mereka.

“Dah kalau bina kuil sampai tuan tanah suruh keluar tapi tak mahu keluar, siapa yang suka? Hadap sajalah dengar gelaran haram tu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini yang turut memuat naik tangkap layar artikel bertajuk, “Hentikan istilah ‘kuil haram’ – Mahima”.

Hantaran itu dilihat ditulis bagi mengulas persoalan dibangkitkan Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu & Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N Sivakumar berkenaan adakah kerana kuil dibina tanpa kelulusan, maka ia layak digelar haram yang turut memberikan gambaran penganutnya juga melakukan perkara haram.

Mahima sebelum ini dilapor mengecam penggunaan istilah ‘kuil haram’ oleh agensi kerajaan, menyifatkannya sebagai tidak sensitif, menghina, dan mencemar kesucian rumah ibadat Hindu.

Menurut Presiden Mahima, penggunaan istilah haram dalam konteks Kamus Dewan membawa maksud ditegah oleh undang-undang atau tidak sah dan penggunaan perkataan itu bukan sahaja menurunkan martabat rumah ibadat, sebaliknya memberi gambaran seolah-olah penganut yang hadir turut melakukan perbuatan haram.

Foto: Tangkap layar Facebook Mufarwa Farid.

Mengulas lanjut, Farid berkata negara ini tidak mengamal dasar mana-mana individu duduk paling lama di sesuatu tanah maka dia boleh ‘claim’ atau menuntut bahawa dia adalah pemilik.

Sebaliknya, kata beliau Malaysia mengamalkan dasar siapa pemilik berdaftar, maka dialah pemiliknya dan berhak melakukan apa saja ke atas tanah tersebut.

Perkara itu menurut beliau jelas dinyatakan dalam Seksyen 340 Kanun Tanah Negara iaitu hak milik atau kepentingan mana-mana orang atau badan buat masa itu didaftarkan sebagai tuan punya mana-mana tanah, atau atas nama siapa apa-apa pajakan, gadaian atau esmen adalah buat masa itu terdaftar, hendaklah, tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut seksyen ini, tidak boleh disangkal.

“Bagi undang-undang tanah, Malaysia mengadaptasi sistem Torrens. Sistem ini berasal dari Australia di mana undang-undang ini mengguna pakai prinsip Mirror Principle.

“Prinsip ini mudah: Siapa namanya tercatat dalam dokumen, maka dialah pemiliknya, tidak kiralah seseorang itu sudah duduk di tanah itu beratus ribu tahun lamanya, jika namanya tidak tercatat dalam geran, maka dia bukan pemilik. Ini asas yang sangat-sangat ringkas.

“Malaysia tidak mengamalkan dasar ‘siapa duduk paling lama, maka dia boleh claim sebagai pemilik’,” kata Farid. — The Merdeka Times

Author