Connect with us

Terkini

Perluas tawaran bahasa ASEAN: Kerajaan diminta wajibkan dulu bahasa Tamil dan Mandarin – Pensyarah

Published

on

Foto: Pensyarah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ainol Madziah Zubairi
  • Kerajaan perlu mewajibkan pengajaran subjek bahasa Tamil dan Mandarin ke dalam sistem pendidikan kebangsaan terlebih dahulu sebelum menawar beberapa bahasa negara ASEAN sebagai bahasa elektif.
  • “Melalui pendidikan bahasalah anak-anak akan mengenali budaya rakyat dari pelbagai bangsa di Malaysia. Ini juga akan mendorong kepada perpaduan, hormat menghormati dan kefahaman dalam masyarakat berbilang bangsa.” – Pensyarah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ainol Madziah Zubairi.
  • “Kita perlu memahami apakah kegunaan bahasa Thai, Vietnam dan Khmer kepada pelajar pada masa hadapan, sedangkan masyarakat menyedari bahawa industri kini lebih mementingkan bahasa Mandarin sahaja berbanding Thai, Vietnam dan Khmer,” – Pensyarah UKM, Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore.

KUALA LUMPUR — Kerajaan perlu mewajibkan pengajaran subjek bahasa Tamil dan Mandarin ke dalam sistem pendidikan kebangsaan terlebih dahulu sebelum menawar beberapa bahasa negara ASEAN sebagai bahasa elektif.

Pensyarah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ainol Madziah Zubairi berkata perkara itu perlu dilaksana terlebih dahulu berikutan ia sudah lama tertangguh.

Ainol Madziah berkata sepatutnya sistem pendidikan kebangsaan telah lama menjadikan bahasa Tamil dan Mandarin sebagai subjek bahasa asing yang wajib kepada anak-anak sekolah.

“(Ini kerana) Melalui pendidikan bahasalah anak-anak akan mengenali budaya rakyat dari pelbagai bangsa di Malaysia. Ini juga akan mendorong kepada perpaduan, hormat menghormati dan kefahaman dalam masyarakat berbilang bangsa,” katanya dipetik FMT hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkenaan Malaysia sedang memperluas tawaran bahasa elektif di sekolah dengan memasukkan bahasa ASEAN seperti Thai, Khmer, dan Vietnam.

Fadhlina kelmarin dilapor berkata sistem pendidikan dwibahasa negara telah lama mengintegrasi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, serta kini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperluas tawaran bahasa elektif, termasuk Mandarin, Tamil serta bahasa ASEAN seperti Thai, Khmer dan Vietnam bagi menggalakkan kerjasama serantau lebih erat.

Menurut Fadhlina, kekuatan ASEAN terletak pada kepelbagaian budaya, bahasa dan tradisinya, justeru bagi memanfaatkan keunikan itu, generasi muda perlu diperlengkapkan dengan kecekapan pelbagai bahasa serta kefahaman silang budaya.

Turut mengulas isu sama, Pensyarah Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore yang berpandangan cadangan KPM itu tidak salah asalkan ia berbentuk pilihan saja kepada pelajar tanpa perlu mewajibkannya.

Bagaimanapun katanya, dalam hal ini adalah lebih baik untuk kementerian terbabit mengutamakan perkara sepatutnya seperti memperkasa penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris di sekolah yang ketika ini dilihat masih belum kukuh.

“Pemerkasaan kedua-dua bahasa ini sendiri masih tidak kukuh dan kini pula ia mahu memperluaskan tawaran bahasa lain seperti Thai, Vietnam dan Khmer,” katanya.

Mohd Effendi @ Ewan berkata kerajaan perlu mempertimbangkan cara lain bagi mengukuhkan kerjasama antara negara ASEAN selain menawarkan pengajaran bahasa ke dalam sistem pendidikan negara.

“Kita perlu memahami apakah kegunaan bahasa Thai, Vietnam dan Khmer kepada pelajar pada masa hadapan, sedangkan masyarakat menyedari bahawa industri kini lebih mementingkan bahasa Mandarin sahaja berbanding Thai, Vietnam dan Khmer.

“Jika ASEAN menjadi sandaran perpaduan, mengapa hanya bahasa Thai, Vietnam dan Khmer sahaja yang mahu dijadikan bahasa elektif, sedangkan ada banyak lagi negara ASEAN lain,” katanya.

Tambah beliau, meskipun usaha itu pada dasarnya kelihatan baik, namun kementerian tersebut perlu mengambil kira beban sedia ada kepada pelajar selain mendapatkan kepakaran guru dalam bahasa asing. — The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author