Antarabangsa
(VIDEO) Tamat pengajian Madrasah, 650 pelajar perempuan di Kabul seru akses pendidikan sains

KABUL — Sekurang-kurangnya 650 pelajar perempuan yang telah menjalani latihan dalam hafalan al-Quran dan Tajwid telah menamatkan pengajian mereka di sebuah sekolah agama di Kabul, Afghanistan.
Meluahkan rasa gembira atas pencapaian mereka dalam pengajian agama, para pelajar ini turut menyeru kerajaan Taliban untuk memberikan mereka peluang pendidikan dalam bidang sains moden.
“Jika sekolah tidak ditutup sejak tiga tahun lalu, saya mungkin sudah menamatkan pendidikan saya bahkan dapat melanjutkan ke universiti,” kata Amina, salah seorang graduan, kepada TOLOnews.
“Menamatkan pengajian dalam bidang agama adalah satu kebahagiaan yang besar, namun amat membimbangkan apabila kami ketinggalan dalam pendidikan umum, terhalang daripada bersekolah, dan pintu pendidikan masih tertutup buat semua pelajar perempuan,” ujar Suma, seorang lagi graduan.
“Permintaan kami kepada kerajaan Taliban adalah agar sekolah-sekolah dibuka semula untuk kami. Kami tidak seharusnya hanya menerima pendidikan agama, tetapi juga perlu mempelajari sains moden,” kata Tuba, seorang lagi graduan.
Bercakap kepada TOLOnews, pengetua sekolah agama berkenaan, Abdul Dayan Zahid Qorban berkata semua pelajar perempuan ini telah menerima latihan dalam hafalan al-Quran dan Tajwid.
“Hari ini, seramai 650 pelajar kami menamatkan pengajian. Daripada jumlah ini, 54 telah menyempurnakan hafalan al-Quran, 86 telah menamatkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam tinggi, di mana mereka mempelajari kitab-kitab terjemahan dan Tafsir, manakala selebihnya telah menyelesaikan pengajian dalam Nazirah (bacaan asas al-Quran) dan taranum,” kata Abdul Dayan.
Ini merupakan majlis graduasi kali keempat bagi para pelajar yang menghafal al-Quran dari sekolah ini, dan setakat ini, seramai 1,200 pelajar perempuan telah berjaya menamatkan pengajian mereka dari institusi tersebut.Ā -The Merdeka Times
