Terkini
(VIDEO) Interfaith Visit anjuran MRM, Tarik pelajar bukan Muslim kenali Islam

KUALA LUMPUR — Sesi soal jawab dalam program Interfaith Visit anjuran Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa (MRM) yang diadakan di sini pada Isnin dilihat menjadi tarikan buat sekumpulan pelajar bukan Muslim dari Amerika Syarikat (AS) untuk belajar berkenaan Islam.
Ini kerana rata-rata pelajar itu ketika ditemui The Merdeka Times menyatakan sesi soal jawab antara pelajar dan penceramah, iaitu Pengasas MRM yang juga pendakwah, Firdaus Wong Wai Hung adalah paling memberi kesan kepada mereka.
Pelajar dari Hong Kong, Tony menyifatkan program itu bukan sekadar sesi ceramah satu hala tetapi lebih kepada sesi interaktif apabila mereka diberikan peluang bertanya dan mendapat respons terus penceramah.
“Kebanyakan daripada kami tidak mempunyai banyak latar belakang mengenai Islam, jadi keseluruhan pembentangan dan sesi soal jawab memberi kami banyak gambaran tentang bagaimana orang Islam berfikir dan apa yang mereka anggap sebagai kebenaran.
“Jika anda tanya sama ada ia menghilangkan salah faham (berkenaan Islam), saya rasa ia lebih kepada mencetuskan lebih banyak soalan yang ingin kami tanyakan kepada penceramah dan juga kepada anda semua, ia sesuatu yang sangat menarik bagi kami dan berharap dapat meneruskan perbualan ini pada masa akan datang,” kata Tony ketika ditemui The Merdeka Times selepas program berkenaan berlangsung.

Foto: Sesi soal jawab dalam program Interfaith Visit anjuran Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa (MRM)
Rakan Tony yang juga pelajar dari AS, JJ berkata bahagian paling banyak membantu dia dalam memperbetulkan salah faham dimiliki sebelum ini tentang Islam adalah sesi soal jawab di akhir program.
Ini kerana di program itu, JJ berkata mereka dapat terus bertanya kepada penceramah sebarang soalan di mana penceramah berkongsikan sudut pandangnya dan pada masa sama pelajar berkongsikan perspektif mereka yang sekali gus membantu menjelaskan banyak perkara kepada dia.
“Saya rasa penceramah menerangkan dengan jelas banyak berkenaan ajaran Islam, terutamanya tentang Adam dan Hawa serta asal-usul manusia.
“Penjelasannya sangat jelas dan dia juga memberi banyak contoh yang boleh saya kaitkan dengan kehidupan seharian,” katanya.

Foto: Pelajar dari New Jersey, Hannah
Sementara itu, pelajar dari New Jersey, Amerika Syarikat bernama Hannah pula berkata dia amat tertarik dengan setiap perkara yang disampaikan penceramah.
“Saya suka mendengar soalan-soalan dikemukakan rakan-rakan yang datang bersama saya… Jawapan diberikan juga sangat menarik kerana saya tidak sedar sebelum ini bahawa terdapat banyak persamaan antara Islam dan Kristian.
“Saya suka mengetahui bahawa ada perkara yang sudah biasa bagi saya, tetapi dalam masa sama terdapat juga perspektif baharu yang membuka mata saya… Ini membantu saya lebih memahami dan menghayati ceramah serta segala perkara dikongsikan,” katanya.

Foto: Pensyarah dari Universiti Duke di North Carolina, Matt
Turut mengiringi kumpulan pelajar itu adalah pensyarah dari Universiti Duke di North Carolina, AS iaitu Matt yang menyifatkan program anjuran MRM itu penuh informasi.
Ketika ditanyakan perkara paling memberi kesan berkenaan program itu, Matt sama seperti pelajarnya yang merasakan beliau sangat terkesan dengan sesi soal jawab di akhir program berkenaan. — The Merdeka Times
