Connect with us

Terkini

Timbalan Menteri Pendidikan pertahan lencana Jalur Gemilang

Published

on

Foto: Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh
  • Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh mempertahankan keputusan kementerian itu memperkenalkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid sekolah,  dengan menyatakan langkah itu bertujuan memupuk semangat patriotisme dan perpaduan, serta tidak seharusnya dianggap sekadar simbolik semata-mata.
  • Kah Woh berkata walaupun wajar untuk mempersoalkan keberkesanan langkah itu, namun kepentingannya tidak boleh ditolak bulat-bulat dan menegaskan usaha memupuk semangat patriotisme melalui pendidikan bukan sesuatu yang bersifat ‘zero-sum game’ di mana pendidikan dan pemakaian lencana sekolah boleh wujud seiring.

KUALA LUMPUR — Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh mempertahankan keputusan kementerian itu memperkenalkan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid sekolah,  dengan menyatakan langkah itu bertujuan memupuk semangat patriotisme dan perpaduan, serta tidak seharusnya dianggap sekadar simbolik semata-mata.

Menurut media tempatan, salah satu kritikan utama terhadap langkah itu ialah sama ada pemakaian lencana bendera benar-benar dapat menanam semangat patriotisme dalam kalangan pelajar atau sekadar satu tindakan simbolik.

Kah Woh mengakui wujud pelbagai pandangan dalam hal ini, tetapi menegaskan bahawa usaha simbolik seperti itu boleh wujud seiring dengan pendekatan pendidikan yang lebih bermakna.

“Isu yang paling kerap dibahaskan ialah sama ada pemakaian lencana bendera benar-benar dapat menanamkan patriotisme atau membuatkan kanak-kanak lebih menyayangi negara mereka. Ramai yang mengkritiknya sebagai tindakan simbolik semata-mata.

“Ada yang mencadangkan agar kementerian lebih tumpukan usaha untuk integrasikan patriotisme dan perpaduan negara dalam silibus pendidikan bagi memupuk identiti kebangsaan yang lebih mendalam.

“Adakah Kementerian Pendidikan tiada perkara lain yang lebih penting untuk dilakukan? Sudah tentu tidak,” katanya menerusi hantaran di Facebook dalam bahasa Cina yang dipetik media tempatan hari ini.

Kah Woh berkata walaupun wajar untuk mempersoalkan keberkesanan langkah itu, namun kepentingannya tidak boleh ditolak bulat-bulat dan menegaskan usaha memupuk semangat patriotisme melalui pendidikan bukan sesuatu yang bersifat ‘zero-sum game’ di mana pendidikan dan pemakaian lencana sekolah boleh wujud seiring.

Sementara itu, beliau juga mengakui kebimbangan disuarakan ibu bapa dan pelbagai pihak, termasuk isu kos tambahan, aspek praktikal, dan risiko keselamatan. Namun, beliau memberi jaminan langkah itu telah dikaji dengan teliti.

“Pada awalnya, ada ibu bapa yang bimbang bahawa ini akan menjadi kos tambahan kepada keluarga. Kementerian memahami perkara ini, sebab itulah setiap pelajar akan diberikan dua lencana bendera negara secara percuma,” katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) dilapor akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan bawah kelolaannya berkuat kuasa 21 April depan secara berperingkat, bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme dan cinta akan negara dalam kalangan murid dan warga pendidik.

KPM pemakaian lencana Jalur Gemilang itu, melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia.

Langkah itu dilapor mendapat reaksi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA, Felicia Wong Yin Ting yang meminta Kementerian Pendidikan mendedahkan nama syarikat yang diberikan kontrak berkenaan lencana Jalur Gemilang bagi pakaian seragam sekolah.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author