Antarabangsa
Sokongan rakyat Amerika semakin beralih dari Israel ke Palestin – Tinjauan

- Sokongan terhadap Israel menurun kepada 46 peratus, berbanding 51 peratus pada tahun 2024. Manakala sokongan terhadap Palestin meningkat kepada 33 peratus, meningkat 6 mata berbanding tahun sebelumnya.
- Parti Demokrat AS semakin menunjukkan sokongan terhadap Palestin, manakala Republikan kekal teguh menyokong Israel.
- Selebriti, termasuk penyanyi rap Macklemore dan kumpulan rock seperti Green Day, telah menyuarakan sokongan terhadap perjuangan Palestin.
Semakin ramai rakyat Amerika Syarikat (AS) bersimpati dengan Palestin, manakala sokongan terhadap Israel semakin menurun.
Perubahan ketara sokongan itu ditunjukkan dalam tinjauan terbaru oleh Gallup yang meninjau pandangan rakyat AS terhadap konflik Timur Tengah selama lebih dua dekad.
Menurut Tinjauan Hal Ehwal Dunia Gallup, 46 peratus rakyat Amerika kini menyatakan sokongan terhadap Israel, turun daripada 51 peratus pada tahun 2024 dan 54 peratus pada tahun 2023.
Sebelum ini, sokongan terhadap Israel pernah mencapai rekod tertinggi 64 peratus pada tahun 2018 dan 2013. Walaupun sokongan terhadap Israel masih menjadi majoriti, trendnya semakin menurun.
Keputusan ini diperoleh hasil tinjauan ke atas lebih 1,000 orang dewasa di semua 50 negeri di Amerika Syarikat.
Melalui tinjauan Gallup dalam isu ini sejak tahun 2001, simpati terhadap Palestin didapati semakin meningkat secara beransur-ansur.
Tahun ini, sokongan terhadap Palestin mencecah 33 peratus rakyat Amerika menyatakan simpati terhadap Palestin, meningkat enam mata peratusan berbanding tahun sebelumnya.
Tinjauan ini juga menunjukkan perpecahan politik dalam isu tersebut. Sokongan Demokrat terhadap Israel semakin berkurang, dengan ramai anggota Demokrat kini lebih bersimpati terhadap Palestin berbanding Israel. Perubahan ini mula dikesan pada tahun 2022.
Sebaliknya, Parti Republikan kekal sangat menyokong Israel, dengan 75 peratus menyokong negara itu dan hanya 10 peratus bersimpati dengan Palestin.
Manakala pengundi bebas pula menunjukkan pandangan yang lebih seimbang, dengan 42 peratus menyokong Israel dan 34 peratus menyokong Palestin. Golongan artis juga mula menyuarakan sokongan terhadap Palestin.
Dalam sebuah lagu terbaru, penyanyi rap Macklemore mengkritik sokongan kewangan AS terhadap Israel, mencerminkan sentimen yang disuarakan artis lain.
Kumpulan muzik rock seperti Green Day dan Rage Against the Machine turut menggunakan platform mereka untuk menyatakan solidariti bersama Palestin, dengan mengubah lirik lagu mereka atau membawa bendera Palestin semasa persembahan.
Walaupun sokongan terhadap penubuhan negara Palestin merdeka semakin meningkat, penyelesaian ini masih menghadapi kebuntuan dan menerima tamparan hebat selepas insiden serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Namun kini, pemimpin antarabangsa mula memberi tumpuan kepada masa depan Gaza, peranan Hamas, dan bagaimana Tebing Barat akan ditadbir.
Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa 40 peratus rakyat Amerika menyokong cara Presiden Donald Trump menangani usaha untuk menamatkan konflik tersebut, ketika gencatan senjata kini berkuat kuasa antara Israel dan Hamas. – The Merdeka Times
