Connect with us

Terkini

‘Sebagai Menteri Perpaduan, tolong tunjukkan lebih kepimpinan!’ – Maszlee Malik

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik
  • Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang digesa lebih menunjukkan kepimpinan beliau dalam konflik di antara Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu baru-baru ini.
  • Gesaan itu disuarakan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang menegaskan bahawa tindakan Aaron yang meminta orang ramai (Saravanan dan Zamri) bertenang dan berhenti bergaduh melalui kenyataan media sahaja tidak cukup.
  • Ini kerana Saravanan dan Zamri mempunyai pengikut dan penyokong fanatik, justeru sebarang salah pengendalian isu akan membawa kepada akibat tidak diingini dan tidak perlu.

KUALA LUMPUR — Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang digesa lebih menunjukkan kepimpinan beliau dalam konflik di antara Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu baru-baru ini.

Gesaan itu disuarakan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang menegaskan bahawa tindakan Aaron yang meminta orang ramai (Saravanan dan Zamri) bertenang dan berhenti bergaduh melalui kenyataan media sahaja tidak cukup.

Ini kerana menurut beliau, Saravanan dan Zamri mempunyai pengikut dan penyokong fanatik, justeru sebarang salah pengendalian isu akan membawa kepada akibat tidak diingini dan tidak perlu.

“YBM, sebagai Menteri Perpaduan, tolong tunjukkan lebih kepimpinan.

“Panggil mereka berdua untuk bertemu secara tertutup dengan anda. Bimbing mereka sebagai seorang bapa dan pemimpin.

“Jadilah seorang pengantara dan mentor, bukan sahaja kepada mereka berdua, tetapi juga kepada rakyat… Kami percaya anda boleh melakukan lebih baik,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Maszlee Malik.

Saravanan sebelum ini dilaporkan menetapkan tarikh debat bersama Zamri Vinoth pada 23 Mac ini berikutan kenyataan kontroversi pendakwah bebas itu yang membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.

Isu terbabit mulai timbul apabila tiga penyampai radio Era FM iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu dalam satu video pendek sehingga mencetuskan perselisihan.

Bagaimanapun, Saravanan tidak lama selepas itu memutuskan tidak meneruskan debat berkenaan demi menjaga perpaduan negara.

Mengulas lanjut, Maszlee mempersoalkan dalam semangat Ramadan, mengapa kementerian Aaron tidak bekerjasama Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar dan JAKIM untuk menganjurkan ‘Berbuka Muhibbah’ di mana penganut bukan Islam dijemput berbuka puasa bersama rakan Muslim di masjid-masjid utama negeri dan daerah  seluruh negara.

“Kami perlukan seorang pemimpin sebenar untuk menyatukan rakyat, YBM. 🙏.

“Jangan serahkan segala-galanya kepada PMX sahaja, beliau sudah cukup terbeban dengan pelbagai urusan,” kata Maszlee yang mengundang reaksi Aaron di ruangan komen hantaran Facebook-nya itu.

Foto: Tangkap layar komen Datuk Aaron Ago Dagang di hantaran Facebook Dr Maszlee Malik.

Aaron antaranya dilihat menyatakan beliau mengambil maklum dan akan membuat tindakan sewajarnya berhubung cadangan Maszlee berkaitan isu berkenaan. — The Merdeka Times

Author