Connect with us

Terkini

Polis siasat video, pertubuhan disyaki promosi fahaman komunis

Published

on

Foto: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain
  • Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan semalam berkata penyebaran klip video berdurasi dua minit 57 saat pada Isnin itu mendakwa pertubuhan dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia atau Persatuan Penyatuan Satu Cina.
  • Katanya siasatan dijalankan oleh Unit Siasaran Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 41/43, Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM).

KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung penularan video membabitkan sebuah pertubuhan tidak berdaftar yang didakwa mempromosi fahaman komunis di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan semalam berkata penyebaran klip video berdurasi dua minit 57 saat pada Isnin itu mendakwa pertubuhan dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia atau Persatuan Penyatuan Satu Cina.

“PDRM memandang serius dakwaan tersebut kerana sebarang usaha menghidupkan semula fahaman komunis, sama ada secara halus atau terbuka, adalah bertentangan dengan prinsip Rukun Negara serta boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

“Malaysia secara tegas telah menolak ideologi komunis sejak 1948, dan sebarang bentuk promosi atau glorifikasi terhadap fahaman tersebut boleh diklasifikasikan sebagai ancaman kepada ketenteraman awam serta perpaduan nasional,” katanya.

Katanya siasatan dijalankan oleh Unit Siasaran Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 41/43, Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM).

Razarudin berkata tindakan berlandaskan undang-undang boleh diambil terhadap sebarang cubaan untuk menggugat kedaulatan negara atau menyemai fahaman yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan, video atau gerakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam serta menggugat keharmonian antara kaum di negara ini.

“Masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi dan tidak menyebarkan kandungan atau bahan yang belum disahkan, kerana tindakan sedemikian boleh mengundang salah faham serta mengeruhkan keadaan,” katanya. — BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author