Terkini
Pendidikan negara semakin merudum – Maszlee Malik

- Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meminta KPM ambil serius teguran pakar berhubung isu pendidikan negara yang semakin merudum, sekali gus mengambil langkah sepatutnya untuk menangani perkara tersebut.
- Teguran pakar pendidikan bukan bagi menuding jari, sebaliknya ia supaya pihak berwajib lebih bersikap terbuka dan melibatkan semua pihak untuk melakukan satu tindakan secara tersusun, berstrategi, telus dan penuh akauntabiliti.
- “Berbanding politikus yang tiada asas pendidikan dan pedagogi yang mencanang isu pendidikan dari aspek perkauman mahupun politik komunal dan kepartian, golongan pakar tidak mempunyai kepentingan. Mereka hanya inginkan kebaikan dan yang terbaik buat nusa dan bangsa,” kata Maszlee menerusi hantaran di Facebook pada Isnin yang dimulakan dengan ayat, “Pendidikan Negara Yang Semakin Merudum”.
KUALA LUMPUR — Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil serius teguran pakar berhubung isu pendidikan negara yang semakin merudum, sekali gus mengambil langkah sepatutnya untuk menangani perkara tersebut.
Maszlee menegaskan teguran pakar pendidikan bukan bagi menuding jari, sebaliknya ia supaya pihak berwajib lebih bersikap terbuka dan melibatkan semua pihak untuk melakukan satu tindakan secara tersusun, berstrategi, telus dan penuh akauntabiliti.
Tambahnya lagi, pakar pendidikan membuat teguran berkenaan kerana menginginkan kebaikan dan yang terbaik buat nusa dan bangsa.
Ia bukan seperti segelintir politikus yang tiada asas pendidikan dan pedagogi namun mencanang isu pendidikan dengan mengaitkannya dengan perkauman, politik komunal (perkauman) dan kepartian.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Maszlee Malik.
“Berbanding politikus yang tiada asas pendidikan dan pedagogi yang mencanang isu pendidikan dari aspek perkauman mahupun politik komunal dan kepartian, golongan pakar tidak mempunyai kepentingan. Mereka hanya inginkan kebaikan dan yang terbaik buat nusa dan bangsa.
“Harap pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dapat mengambil teguran ini secara serius dan mengambil langkah sepatutnya. Terima kasih atas tegurannya Dr Anuar Ahmad.
“Saya kongsikan di bawah ini satu muhasabah bersama dari pakar pendidikan dan pedagogi perihal keadaan pendidikan negara yang semakin merudum,” kata Maszlee menerusi hantaran di Facebook pada Isnin yang dimulakan dengan ayat, “Pendidikan Negara Yang Semakin Merudum”.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Anuar Ahmad yang dikongsikan Dr Maszlee Malik di Facebook-nya.
Maszlee yang juga bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam turut berkongsikan hantaran Facebook Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad yang antara lain menegaskan bahawa terdapat banyak bukti empirikal dan berautoriti mengesahkan prestasi pendidikan negara tidak berada dalam keadaan baik, malah data yang ada juga menunjukkan sistem pendidikan kita sedang mengalami kemerosotan yang sistemik dan berterusan.
Justeru, Dr Anuar menginginkan KPM serius dalam meneliti dan memahami setiap tanda, isyarat atau simptom yang muncul dalam pendidikan, khususnya yang memberi petunjuk kepada kemerosotan prestasi pendidikan. — The Merdeka Times
