Kolumnis
Mengapa lukis ‘gambar’ Nabi dikira menghina?

Baru-baru ini, tular sebuah video berbahasa Mandarin yang memaparkan satu imej yang didakwa menyerupai Nabi Muhammad SAW.
Tidak mengejutkan, video itu menerima bantahan dan protes umat Islam yang merasakan tindakan tersebut sebagai penghinaan terhadap Rasul yang mereka cintai.
Namun, ada yang berpendapat bahawa tindakan tersebut mungkin sekadar kekhilafan. Pembikin video, yang bukan Muslim mungkin tidak mengetahui bahawa dalam Islam, sebarang penggambaran Nabi Muhammad SAW adalah dilarang.
Dari perspektif bukan Muslim, melukis atau memaparkan gambar hanyalah satu ekspresi seni yang tidak semestinya bersifat memprovokasi.
Tokoh-tokoh agama mereka seperti Jesus dan Buddha juga sering dilukis atau diukir dalam pelbagai bentuk tanpa menimbulkan kontroversi dalam kalangan penganut agama mereka.
Mereka mungkin berpandangan bahawa selagi lukisan itu tidak bersifat menghina—seperti kartun Charlie Hebdo yang jelas memperlekehkan Islam—ia tidak seharusnya menimbulkan kemarahan.
Jadi, mengapa lukisan potret Nabi Muhammad SAW tetap dianggap sensitif dan menerima kecaman yang sama?
Analoginya
Bayangkan seseorang yang ingin menunjukkan rasa hormat kepada bendera negara dengan melukisnya.
Namun, tanpa disedari, dia menggunakan warna yang salah atau menambah elemen yang tidak sepatutnya.
Bagi orang luar, ia mungkin kelihatan seperti kesilapan kecil yang tidak disengajakan, tetapi bagi rakyat negara itu, ia dianggap sebagai satu penghinaan terhadap simbol kebanggaan mereka.
Begitu juga dalam Islam, Rasulullah SAW bukan sekadar tokoh sejarah Islam tetapi baginda adalah Rasul terakhir yang merupakan simbol kesucian agama Islam.
Sebagaimana bendera yang perlu dihormati tanpa diubahsuai sesuka hati, begitu juga Islam telah menetapkan larangan dalam menggambarkan Rasulullah SAW bagi menjaga kemurnian akidah Tauhid.
Walaupun tanpa niat menghina, melukis wajah baginda tetap bertentangan dengan ajaran Islam hatta dengan niat dan tujuan yang baik. Mengapakah?
- Mengelakkan pengagungan berlebihan
Islam menegah sebarang bentuk amalan yang mampu mengarah kepada jalan menguduskan, mengagungkan atau lebih teruk lagi sehingga ‘menuhankan’ Rasulullah SAW.
Bahkan dalam hal memuji baginda sekalipun, Rasulullah SAW jelas melarang:
“Jangan kamu semua berlebih-lebihan memujiku seperti yang dilakukan oleh orang-orang Nasara (Kristian) terhadap ibn Maryam (Nabi Isa AS) sebaliknya saya hanyalah hambaNya. Maka sebutlah (kepada aku) hamba Allah dan RasulNya.” (Sahih Bukhari, no. 2462)
Apatah lagi sekiranya wajah Nabi Muhammad SAW dilukis, dibimbangi boleh membawa kepada penyembahan dan pengagungan yang berlebihan terhadap gambar tersebut.
Sebagaimana terjadi pada umat terdahulu yang telah menghasilkan gambar atau patung orang-orang soleh dengan niat asal untuk mengenangkan jasa mereka, bukan untuk disembah.
Namun, lama-kelamaan akidah Tauhid mula merosak apabila generasi seterusnya menguduskan dan menyembah patung-patung tersebut.
Firman Allah SWT: “Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.” (Surah Nuh: 23)
Rasulullah SAW turut bersabda:
“Patung-patung berhala yang ada di kalangan kaum Nuh pada masa lalu (turut) menjadi sembahan orang-orang Arab yang datang kemudiannya. Wadd milik suku Kalb di Daumatul Jandal, Suwa‘ pula milik suku Huzail, Yaghuth milik suku Murad, kemudian kepada Bani Ghutaif di Jurf berdekatan Saba’, adapun Ya‘uq pula milik suku Hamdan, dan Nasr milik suku Himyar, keturunan Ali Zi al-Kala‘. Nama-nama (berhala itu adalah nama) beberapa orang lelaki soleh daripada kaum Nabi Nuh.” (Sahih Bukhari, No. 4920)
Atas sebab ini, Islam menutup terus pintu ke arah perkara tersebut dengan melarang sebarang gambaran Nabi Muhammad SAW.
- Menghindari penggambaran perkara ghaib
Membenarkan lukisan wajah atau jasad Nabi Muhammad SAW seperti membuka pintu kepada penggambaran perkara-perkara ghaib lain seperti Allah, malaikat, syurga dan neraka.
Dalam Islam, perkara-perkara ghaib tidak boleh digambarkan mengikut imaginasi manusia kerana ia berada di luar kemampuan akal dan pancaindera kita.
Jika manusia dibiasakan dengan ‘visualisasi’ perkara ghaib, mereka akan mula membentuk gambaran yang tidak tepat dan akhirnya menokok tambah konsep suci dengan khayalan mereka sendiri.
Jika umat Islam membenarkan lukisan wajah Nabi Muhammad SAW, bukan sahaja membuka ruang kepada penggambaran perkara-perkara ghaib malah, mampu membawa kepada salah faham yang lebih besar.
Iaitu, menjerumuskan manusia ke arah lembah syirik apabila gambaran tersebut dianggap sebagai realiti.
- Tiada gambaran fizikal Nabi SAW yang sahih
Tiada satu pun lukisan Nabi Muhammad SAW yang disahkan sahih. Apa yang kita ketahui hanyalah berdasarkan deskripsi umum daripada para sahabat.
Namun, tiada satu pun potret atau lukisan baginda yang wujud sejak zaman baginda sendiri.
Segala gambaran berkait wajah Nabi Muhammad SAW yang muncul hari ini hanyalah interpretasi buatan manusia – dicipta oleh orang yang tidak pernah bersua muka dengan baginda.
Jika dibenarkan, ia hanyalah interpretasi yang mahu menimbulkan kekeliruan dan tafsiran yang salah mengenai rupa baginda.
Sejarah dunia juga membuktikan penggambaran tokoh-tokoh agama sering diselewengkan untuk tujuan propaganda.
Sebagai contoh, ada banyak lukisan dan patung Jesus yang menggambarkan beliau sebagai seorang lelaki berkulit putih. Ada juga yang menggambarkan beliau berkulit hitam.
Mana satukah yang betul? Akhirnya, ia bergantung kepada interpretasi masing-masing yang mengundang banyak kekeliruan.
Kesimpulan
Larangan menggambarkan Nabi Muhammad SAW adalah langkah untuk memelihara kemurnian Tauhid dan menghindarkan umat daripada kesilapan yang telah berlaku kepada generasi terdahulu.
Ia juga merupakan sebahagian daripada prinsip Islam dalam menjaga ketulenan ajaran agama tanpa dipengaruhi imaginasi manusia.
Bagi bukan Muslim, mereka mungkin melihat isu ini hanyalah perkara biasa, tetapi dalam Islam, ia berkait rapat dengan akidah.
Oleh itu, memahami sensitiviti ini adalah langkah penting dalam menghormati kepercayaan umat Islam dan mengelakkan ketegangan yang tidak perlu antara agama. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
