Terkini
Lagi kuil dibina tanpa kelulusan DBKL, kali ini depan surau PERKIM

- Bantahan itu disuarakan Pengerusi Surau PERKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim yang mendakwa bahawa pembinaan kuil berkenaan dilakukan tanpa memperolehi kebenaran pihak DBKL terlebih dahulu di mana menurut pemantauan penguatkuasa DBKL pada 12 Mac lalu, pihak MIC menyatakan permohonan masih dalam proses.
- “Ini bermakna, kuil ini dibina tanpa kelulusan dan secara beraninya ia menyalahi peraturan pembinaan yang ditetapkan DBKL tanpa Development Order (DO) atau Kelulusan Perintah Pembangunan,” kata Mohamad Nordin menerusi surat bantahan yang dilihat The Merdeka Times ia ditujukan kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
- Bantahan dilakukan juga kerana sudah terdapat banyak kuil di kawasan berhampiran.
KUALA LUMPUR — Tidak mempunyai kelulusan Development Order (DO) atau Kelulusan Perintah Pembangunan daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) antara faktor proses pembinaan sebuah kuil penganut Hindu di Ibu Pejabat MIC, Jalan Rahmat Off Jalan Ipoh, 51200 Kuala Lumpur berdepan bantahan.
Bantahan itu disuarakan Pengerusi Surau PERKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim yang mendakwa bahawa pembinaan kuil berkenaan dilakukan tanpa memperolehi kebenaran pihak DBKL terlebih dahulu di mana menurut pemantauan penguatkuasa DBKL pada 12 Mac lalu, pihak MIC menyatakan permohonan masih dalam proses.

Foto: Gambar memaparkan jarak di antara pembinaan kuil dengan bangunan MIC dan Surau PERKIM.
“Ini bermakna, kuil ini dibina tanpa kelulusan dan secara beraninya ia menyalahi peraturan pembinaan yang ditetapkan DBKL tanpa Development Order (DO) atau Kelulusan Perintah Pembangunan.
“Kami juga telah menghubungi Pejabat Zon Kawasan 3 DBKL pada 17 Mac 2025 dan pihak mereka memaklumkan masih belum menerima sebarang permohonan pembinaan kuil,” kata Mohamad Nordin menerusi surat bantahan yang dilihat The Merdeka Times ia ditujukan kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Foto: Antara kandungan surat bantahan pembinaan kuil berhadapan Surau PERKIM yang dirujuk TMT.
Beliau berkata bantahan dilakukan juga kerana sudah terdapat banyak kuil di kawasan berhampiran seperti di daerah Jalan Ipoh dan Sentul, serta terdapat kuil yang besar berdekatan HKL (Hospital Kuala Lumpur) dan di Jalan Ipoh.
Katanya, bilangan kuil itu belum mengambil kira banyak lagi kuil-kuil kecil (di kawasan itu) berkemungkinan besar tidak memperoleh kelulusan, yang sekali gus menimbulkan persoalan berkenaan kewajaran kuil baharu perlu dibina lagi di kawasan berkenaan.
“Seperti yang kita sedia maklum juga, terdapat kuil sedia ada di bahagian belakang tapak pembinaan ini.
“Soalannya,mengapa kuil baharu in tidak ditempatkan di sana, namun ia dibina di tepi jalan raya? Kami juga tidak pernah mempertikai dan mempersoalkan kuil lama tersebut selama ini.
“Namun, apabila kuil baharu dibina di tepi jalan, ia menimbulkan kemarahan di kalangan kami dan sangat tidak wajar menghadap Surau PERKIM yang telah beroperasi sejak 20 tahun lebih yang lalu,” kata Mohamad Nordin yang menyenaraikan tujuh faktor mengapa bantahan dilakukan pihaknya.

Foto: Gambar memaparkan pembinaan kuil sedang dilakukan.
Justeru, beliau serta pihak Surau PERKIM meminta Johari membantu memperjuangkan bantahan mereka hingga ke peringkat Kerajaan dan tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kerana ia akan mengundang krisis tidak diingini jika tidak dibendung pada masa ini. — The Merdeka Times
