Antarabangsa
Kucing liar Mesir, ‘lynx’ serang tentera Israel
- Beberapa laporan telah dibuat mengenai insiden serangan lynx yang menyerang tentera Zionis di sempadan Mesir-Israel.
- Kucing liar itu akhirnya berjaya ditangkap pemeriksa hidupan liar Israel dan dibawa ke hospital khas untuk pemeriksaan, namun tiada butiran lanjut didedahkan.
- Insiden terbabit menjadi topik perbualan hangat media sosial dan ramai pengguna media sosial memberikan reaksi dengan nada jenaka, mengatakan bahawa tentera Zionis “mendapat balasan yang setimpal” dan secara berseloroh melabel haiwan itu sebagai anti-semitik.
PALESTIN – Seekor kucing liar Mesir, dikenali sebagai ‘lynx’ telah menyelinap masuk ke pangkalan tentera Israel di kawasan sempadan Gunung Harif, menyerang dan mencederakan beberapa tentera Israel dalam insiden luar biasa yang kini tular di media sosial.
Menurut portal Yedioth Ahronoth yang dipetik Roya News, beberapa laporan telah dibuat mengenai insiden serangan pemangsa liar itu yang menyerang tentera Zionis di sempadan Mesir-Israel.
Kucing liar itu akhirnya berjaya ditangkap pemeriksa hidupan liar Israel dan dibawa ke hospital khas untuk pemeriksaan, namun tiada butiran lanjut didedahkan.
Media Israel membuat spekulasi, lynx itu telah menyeberang sempadan dari Mesir dan memasuki negara haram Israel.
Sempadan gurun kawasan berkenaan memang menjadi habitat kepada pelbagai haiwan pemangsa.
Insiden terbabit menjadi topik perbualan hangat media sosial dan ramai pengguna media sosial memberikan reaksi dengan nada jenaka, mengatakan bahawa tentera Zionis “mendapat balasan yang setimpal” dan secara berseloroh melabel haiwan itu sebagai “antisemitik.”
Ada juga yang secara sinis mempersoalkan sama ada lynx itu akan dikecam selepas kejadian ini.
Kucing liar lynx mempunyai ukuran antara 60 hingga 90 cm panjang, berat antara 8 hingga 20 kg, dan memiliki taring panjang, kuku tajam, serta jangka hayat antara 12 hingga 15 tahun, tetapi boleh mencapai 20 tahun.
Dengan kelajuan sehingga 80 kilometer sejam, lynx memburu tikus, arnab liar, dan burung, malah mampu menyerang haiwan yang lebih besar seperti rusa, monyet, biri-biri, dan kambing. – The Merdeka Times
You must be logged in to post a comment Login