Antarabangsa
Hamas lancar serangan balas ke Tel Aviv

- Hamas mengumumkan bahawa ia telah melancarkan tiga roket ke arah Tel Aviv yang mana ini merupakan kali pertama kumpulan itu diketahui bertindak balas sejak Israel menyambung semula serangan tenteranya di Gaza.
- Semalam, tentera penjajah mengesahkan bahawa mereka telah memulakan operasi darat di wilayah Palestin itu.
- Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 591 orang termasuk lebih daripada 200 kanak-kanak terbunuh sejak Israel mencabul gencatan senjata pada hari Selasa.
GAZA — Hamas mengumumkan bahawa ia telah melancarkan tiga roket ke arah Tel Aviv yang mana ini merupakan kali pertama kumpulan itu diketahui bertindak balas sejak Israel menyambung semula serangan tenteranya di Gaza.
Israel mendakwa telah memintas salah satu peluru berpandu tersebut, manakala dua lagi jatuh di kawasan yang tidak berpenghuni.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 591 orang termasuk lebih daripada 200 kanak-kanak terbunuh sejak Israel mencabul gencatan senjata pada hari Selasa.
Semalam, tentera penjajah mengesahkan bahawa mereka telah memulakan operasi darat di wilayah Palestin itu.
Tentera zionis mengumumkan bahawa tenteranya telah mula melaksanakan aktiviti darat di Rafah, sebuah bandar di selatan Gaza yang bersempadan dengan Mesir.
Jurucakap tentera penjajah, Kolonel Avichay Adraee berkata pasukannya telah dikerahkan hingga ke tengah kawasan yang dikenali sebagai Koridor Netzarim, yang membahagikan bahagian utara dan selatan Gaza.
Jurucakap kerajaan Israel, David Mencer, menuduh Hamas sebagai punca keganasan berulang, dengan mendakwa bahawa kumpulan itu memaksa eskalasi ini dan menolak setiap perjanjian pertukaran tebusan, termasuk tawaran yang dimediasi oleh AS dan pihak lain.
Israel menyambung semula serangan pada hari Selasa selepas rundingan untuk melanjutkan gencatan senjata gagal mencapai kemajuan, sambil memberi amaran bahawa serangan akan semakin meningkat sehingga Hamas membebaskan baki tebusan yang masih ditahan.
Menurut Israel, Hamas masih menahan 59 tebusan, dengan 24 daripadanya dipercayai masih hidup.–The Merdeka Times
