Politik
Dua Melayu dipilih anggotai CEC, tunjuk DAP capai kemajuan – Syahredzan

- Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berpandangan pemilihan dua pemimpin Melayu ke Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) menunjukkan DAP mencapai kemajuan dari segi kepelbagaian, sejak beberapa tahun kebelakangan.
- Syahredzan terpilih ke CEC bersama Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dengan masing-masing meraih 2,065 dan 1,943 undi daripada perwakilan yang menyaksikan Syahredzan dilantik sebagai salah seorang daripada empat naib pengerusi DAP, manakala Syefura jadi penolong setiausaha publisiti.
- “Orang mungkin kata DAP masih sebuah parti dengan majoriti ahli bukan Melayu, tetapi kita perlu ingat kita telah mencapai kejayaan besar,” kata Syahredzan dipetik FMT pada penutup konvensyen DAP.
KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berpandangan pemilihan dua pemimpin Melayu ke Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) menunjukkan DAP mencapai kemajuan dari segi kepelbagaian, sejak beberapa tahun kebelakangan.
Syahredzan terpilih ke CEC bersama Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dengan masing-masing meraih 2,065 dan 1,943 undi daripada perwakilan yang menyaksikan Syahredzan dilantik sebagai salah seorang daripada empat naib pengerusi DAP, manakala Syefura jadi penolong setiausaha publisiti.
“Orang mungkin kata DAP masih sebuah parti dengan majoriti ahli bukan Melayu, tetapi kita perlu ingat kita telah mencapai kejayaan besar,” kata Syahredzan dipetik FMT pada penutup konvensyen DAP.
CEC DAP ialah badan pembuat keputusan tertinggi yang mengetuai parti itu bagi menetapkan hala tuju dan membuat dasar-dasar parti, selain berfungsi menguatkuasakan Perlembagaan parti bagi mempromosikan matlamatnya dan mengambil sebarang tindakan difikirkan perlu untuk tujuan tersebut.
Mereka terpilih dalam CEC akan menerajui DAP bagi penggal 2025 hingga 2028.
Syahredzan berkata tiga tahun lalu, hanya Syefura berjaya memasuki 30 teratas dalam pemilihan CEC, namun keputusan semalam menggambarkan kepelbagaian dalam DAP dan juga menunjukkan ahli parti ‘buta warna’.
“Dua daripada enam calon Melayu berjaya menyertai pimpinan tertinggi, yang menunjukkan ahli DAP tidak mementingkan kaum seseorang, tetapi keupayaan dan sumbangan kepada parti,” katanya.
Syahredzan memberi penghormatan kepada veteran parti, Lim Guan Eng yang dilantik sebagai penasihat kerana membuka laluan kepada DAP untuk menjadi lebih inklusif dan berbilang kaum.
Katanya, beliau akan menggunakan jawatan naib pengerusi untuk mendekati pengundi Melayu, yang bukan penyokong tradisi DAP.
“Semasa Lim jadi setiausaha agung, beliau bersungguh-sungguh memulakan usaha untuk merekrut lebih ramai orang Melayu.
“Ini perlu diteruskan dan saya melihat peranan naib pengerusi bukan sahaja untuk mengukuhkan sokongan sedia ada tetapi juga meraih sokongan kelompok yang secara tradisinya bukan penyokong kami,” katanya. — The Merdeka Times
