Kolumnis
Bolehkah kami sambut Qing Ming? – Mualaf Cina

Persoalan ini sering menjadi dilema bagi sesetengah mualaf Cina yang baru memeluk agama Islam – adakah mereka masih boleh menyambut perayaan Qing Ming?
Qing Ming bukan sekadar perayaan biasa – ia mencerminkan penghormatan mendalam kepada nenek moyang, nilai yang sudah lama berakar dalam budaya Cina.
Pada hari tersebut, seluruh keluarga Cina akan berkumpul untuk menziarahi, membersihkan dan melakukan ritual penghormatan seperti membakar colok serta memberikan persembahan makanan kepada nenek moyang.
Tradisi ini berpunca daripada ajaran Konfusianisme yang mengutamakan filial piety (kesetiaan kepada ibu bapa). Dalam kepercayaan Taoisme dan Buddhisme, pemujaan nenek moyang dikatakan membawa perlindungan dan keberkatan kepada keturunan.
Jadi, sejauh mana seorang Cina Muslim boleh terlibat dalam perayaan ini tanpa perlu mengorbankan akidah mereka tetapi masih menghormati ibu bapa mereka yang bukan Muslim?
Islam benarkan ziarah, bukan pemujaan
Islam tidak menghalang seorang Muslim daripada menziarahi kubur keluarga bukan Muslim. Bahkan, Rasulullah SAW sendiri membenarkan sahabatnya, Saidina Ali RA, untuk mengebumikan bapanya yang meninggal dalam keadaan kufur:
Ali bin Abi Talib yang menemui Rasulullah SAW untuk mengkhabarkan kematian Abu Talib. Baginda SAW bersabda: “Pergilah dan kebumikannya”. Aku berkata: “Sesungguhnya dia mati dalam keadaan musyrik.” Nabi berkata: “Pergilah dan kebumikannya” Setelah aku mengebumikannya, aku kembali kepada Baginda. Maka Baginda berkata kepadaku, “Mandilah.” (Sunan al-Nasa’ie, no. 190)
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikel bertajuk ‘Hukum Menghadiri Majlis Pengebumian Bukan Muslim’ juga menyatakan:
“Menghadiri pengebumian sahabat-sahabat atau ahli keluarga yang tidak memeluk Islam dan tidak memusuhi Islam, adalah dibolehkan dan tidak ada larangan padanya. Namun begitu, hendaklah dihindari daripada melibatkan diri dengan upacara keagamaan mereka.”
Jelas, Islam memberi kelonggaran dalam hubungan kekeluargaan. Namun, kelonggaran ini ada hadnya iaitu tidak melibatkan diri dalam upacara-upacara yang bertentangan dengan Islam.
Apa yang dilarang?
Islam melarang sebarang bentuk pemujaan roh dan kepercayaan mereka boleh memberikan perlindungan atau nasib baik kepada keturunan mereka.
Ini adalah syirik yang tidak akan diampuni Allah jika seseorang mati tanpa bertaubat.
“Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah al-Nisa’: 48)
Beberapa amalan perayaan Qing Ming yang jelas bertentangan dengan Islam adalah:
- Memohon perlindungan kepada roh nenek moyang
Mempercayai bahawa memuja roh nenek moyang boleh memberikan perlindungan atau keuntungan adalah satu bentuk kesyirikan.
Ini kerana ia menyembah selain daripada Allah SWT dan menganggap roh si mati mempunyai keupayaan luar biasa yang boleh menentukan rezeki ahli keluarganya.
Bukan sahaja kepercayaan sebegini bertentangan dengan konsep tauhid, tetapi juga menyimpang daripada kepercayaan bahawa rezeki dan perlindungan hanya datang daripada Allah SWT, bukan daripada roh nenek moyang.
“Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak pula mendatangkan mudarat kepada kamu selain daripada Allah, kerana jika kamu melakukan yang demikian, maka sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang zalim.” (Surah Yunus:106)
- Membakar colok dan kertas sembahyang
Menurut kepercayaan Cina, amalan membakar colok dan kertas sembahyang merupakan tradisi turun-temurun yang dipercayai dapat membantu roh si mati hidup lebih selesa di alam kematian.
Mereka mempercayai nenek moyang masih memerlukan bantuan manusia, hatta setelah mati.
Oleh sebab itu, mereka menghantar banyak replika kegunaan harian seperti ‘wang kertas neraka’, ‘rumah atau kereta kertas’ untuk kegunaan si mati.
Islam menolak kepercayaan bahawa roh si mati masih memerlukan bantuan duniawi. Dalam Islam, amalan seseorang akan terputus selepas kematiannya kecuali tiga perkara:
“Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”(Sahih Muslim, No. 1631)
- Menyediakan makanan sebagai persembahan
Dalam budaya tradisional Cina, makanan sering disediakan sebagai ‘jamuan’ kepada roh nenek moyang sebagai tanda penghormatan.
Kepercayaan ini wujud kerana mereka menganggap roh nenek moyang masih ‘hadir’ bersama keluarga dan perlu dijamu dengan makanan kegemaran mereka ketika hidup.
Kepercayaan ini bercanggah dengan ajaran Islam yang menegaskan bahawa roh si mati tidak boleh kembali ke dunia.
“Sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (Surah al-Mukminun:100)
Selain itu, membantu menyediakan makanan untuk tujuan penyembahan juga termasuk dalam kategori tolong-menolong melakukan maksiat dan dosa.
Allah SWT berfirman: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah Al-Maidah:2)
Mana lebih utama?
Islam tidak melarang mereka untuk menziarahi kubur keluarga bukan Muslim apatah lagi, menghalang mereka daripada menjaga hubungan sesama keluarga. Tetapi, sebagai Muslim, ada had batasan yang perlu dijaga.
Imam al-Nawawi juga berpandangan bahawa Muslim dibolehkan menziarahi kubur bukan Muslim.
Namun, beliau menegaskan bahawa yang lebih utama adalah menziarahi mereka ketika masih hidup kerana pada ketika itu, peluang dakwah masih lagi terbuka.
Islam tidak mengajar umatnya untuk berbuat baik hanya menjelang kematian, sebaliknya, Muslim dituntut untuk sentiasa berbuat baik kepada keluarga selagi ia tidak bertentangan dengan syarak.
Ini seharusnya menjadi pedoman bagi mualaf Cina dalam menghadapi dilema Qing Ming.
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau menaati keduanya, dan pergaulilah keduanya dengan baik..” (Surah Luqman, 31: 14-15)
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.
