Terkini
Ancam turun ke jalanan, Polis buka kertas siasatan terhadap Arun Dorasamy – KPN

- Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata polis menerima laporan berhubung kes itu di Batu Kawan, Pulau Pinang kelmarin, berkaitan video di aplikasi WhatsApp menunjukkan kenyataan Arun yang didakwa berbaur hasutan dan menyentuh isu 3R.
- Video terbabit turut menyentuh pihak keselamatan dan Perdana Menteri Malaysia.
- “Individu itu mengatakan jika tiada tindakan diambil terhadap Zamri Vinoth, dia dan Persatuan Hindu Agama Ani Malaysia serta masyarakat Hindu yang lain akan turun ke jalanan,” – KPN.
- Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan ke atas Arun Dorasamy yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan menerusi video dimuat naik di Instagram miliknya, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata polis menerima laporan berhubung kes itu di Batu Kawan, Pulau Pinang kelmarin, berkaitan video di aplikasi WhatsApp menunjukkan kenyataan Arun didakwa berbaur hasutan dan menyentuh isu agama, kaum serta institusi diraja (3R).
Razarudin berkata video terbabit turut menyentuh pihak keselamatan dan Perdana Menteri Malaysia.
“Individu itu mengatakan jika tiada tindakan diambil terhadap Zamri Vinoth, dia dan Persatuan Hindu Agama Ani Malaysia serta masyarakat Hindu yang lain akan turun ke jalanan.
“Susulan itu, kita membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dipetik Berita Harian.
Menurut Berita Harian, menerusi video berdurasi sembilan minit di laman Instagram, Arun didakwa mengatakan Zamri Vinoth adalah Hindu murtad, selain menyoal adakah polis menunggu rusuhan perkauman.
Kenyataan itu dipercayai ekoran tindakan pendakwah bebas berkenaan yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina agama Hindu dan Arun berpendapat pihak berkuasa lambat mengambil tindakan terhadap Zamri.
The Merdeka Times pada Selasa melaporkan Arun Dorasamy daripada Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia memberi amaran sekiranya Perdana Menteri, PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil tindakan terhadap Zamri, maka penganut Hindu akan turun ke jalanan.
Sementara itu, Razarudin berkata siasatan sedang dijalankan bagi pemprofilan dan mengenal pasti individu terbabit.
Tegasnya, penyebaran isu 3R yang mempunyai niat jahat boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat sehingga boleh menggugat keamanan negara, ketenteraman awam, kesejahteraan rakyat, kestabilan politik, ekonomi dan keharmonian antara kaum di negara ini.
“Elakkan penulisan status, komen, ciapan, siaran gambar, poster atau video yang dibuat tanpa memahami faktor sosial budaya serta sensitiviti kaum yang boleh mengakibatkan timbul rasa tidak senang, terhina atau tersinggung,” katanya. — The Merdeka Times
