Connect with us

Terkini

Tiada perjanjian, kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Afghanistan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek
  • Tiada sebarang hubungan rasmi atau kerjasama strategik yang dimeterai antara kedua- dua Kerajaan Malaysia dan Afghanistan dalam pendidikan.
  • Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata ini kerana Malaysia masih belum mengiktiraf Pihak Berkuasa De Facto Afghanistan (PBDFA).
  • Lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Malaysia tahun lalu bertujuan memberi pendedahan berkenaan sistem pendidikan di negara ini.
  • “Namun, perlu dinyatakan bahawa lawatan tersebut tidak melibatkan sebarang bentuk perjanjian rasmi atau kerjasama dua hala antara Kerajaan Malaysia dan Afghanistan dalam bidang pendidikan,” katanya menerusi Jawapan Bertulis pada Rabu yang disiarkan di laman web Parlimen.

KUALA LUMPUR — Tiada sebarang hubungan rasmi atau kerjasama strategik yang dimeterai antara kedua- dua Kerajaan Malaysia dan Afghanistan dalam pendidikan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata ini kerana Malaysia masih belum mengiktiraf Pihak Berkuasa De Facto Afghanistan (PBDFA).

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata dalam hal ini juga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus mendapatkan nasihat dan panduan Kementerian Luar Negeri (KLN) yang bertanggungjawab dalam menetapkan dasar hubungan dua hala Malaysia sebelum sebarang bentuk kerjasama dapat dipertimbangkan.

Beliau juga menjelaskan lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Malaysia tahun lalu adalah khusus untuk memberi pendedahan berkenaan sistem pendidikan di negara ini.

“Malaysia telah lama diiktiraf sebagai salah satu negara Islam yang moden dan progresif dengan sistem pendidikan yang mampan serta inklusif.

“Justeru, lawatan ini telah memberi peluang kepada delegasi Afghanistan untuk memahami lebih lanjut mengenai pendekatan dan amalan terbaik dalam bidang pendidikan yang diamalkan di Malaysia.

“Namun, perlu dinyatakan bahawa lawatan tersebut tidak melibatkan sebarang bentuk perjanjian rasmi atau kerjasama dua hala antara Kerajaan Malaysia dan Afghanistan dalam bidang pendidikan.

“Lawatan ini telah dibiayai sepenuhnya oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang bertanggungjawab menguruskan dana yang disediakan oleh Kesatuan Eropah (EU) dalam usaha menyokong pembangunan kapasiti di Afghanistan,” katanya menerusi Jawapan Bertulis pada Rabu yang disiarkan di laman web Parlimen.

Fadhlina menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki yang meminta beliau menyatakan apakah bentuk hubungan dua hala Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Afghanistan dalam bidang pendidikan hasil lawatan Kerajaan Afghanistan baru-baru ini.

Pada November 2024, media melaporkan Fadhlina mengesahkan kementeriannya menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban awal bulan itu. — The Merdeka Times

Author