Terkini
Tarif elektrik akan dinaikkan pada separuh kedua tahun ini – Anwar

- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenaikan tarif elektrik dijangka dinaikkan pada separuh kedua tahun ini, dengan kadar bakal ditetapkan selepas semakan semula nanti.
- Anwar bagaimanapun menafikan tarif asas elektrik di Semenanjung akan meningkat 14 peratus.
- “Mengenai isu Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT), kadar pemindahan elektrik bukan 14 peratus. Tidak,” katanya.
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kenaikan tarif elektrik dijangka dinaikkan pada separuh kedua tahun ini, dengan kadar bakal ditetapkan selepas semakan semula nanti.
Jelas Anwar, ketetapan tersebut perlu dibuat berpandukan kapasiti dan harga pada tempoh tertentu.
Anwar bagaimanapun menafikan tarif asas elektrik di Semenanjung akan meningkat 14 peratus.
“Mengenai isu Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT), kadar pemindahan elektrik bukan 14 peratus. Tidak.
“Seperti yang anda tahu, kajian semula setiap enam bulan adalah berdasarkan harga semasa. Jadi, saya tidak fikir ia akan menjadi sesuatu yang terlalu membebankan atau merugikan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini pada Isnin.
Anwar menegaskan, kerajaan bersedia untuk mendengar pandangan pelbagai pihak mengenai cadangan kenaikan tarif elektrik berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan, Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencadangkan jadual tarif baharu dengan tarif asas 45.62 sen sekilowatt-jam (KwJ) bagi Semenanjung Malaysia di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) dilaksanakan mulai 1 Julai 2025.
Di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) antara 2022 dan 2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWj.
TNB menerusi makluman kepada Bursa Malaysia pada 26 Disember berkata, sebarang perbezaan dari Januari hingga Jun 2025 akan dibiayai melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
Jadual tarif elektrik semasa yang dilaksanakan sejak 2014 akan terus berkuat kuasa tanpa perubahan dalam kadar tarif dan struktur tarif elektrik sehingga 30 Jun 2025. -The Merdeka Times
