Antarabangsa
Salur kandungan tidak sah kepada media antarabangsa, Taliban gantung operasi stesen radio wanita

- Radio Begum digantung operasinya gara-gara didakwa melakukan beberapa pelanggaran melibatkan dasar penyiaran, penyalahgunaan lesen, selain menyediakan kandungan serta program yang tidak sah kepada saluran televisyen antarabangsa.
- Dalam satu kenyataan, stesen radio tersebut mendakwa komputer, pemacu keras, fail dan telefon turut dirampas Taliban. Beberapa kakitangan yang tidak memegang jawatan pengurusan kanan turut ditahan.
AFGHANISTAN – Stesen radio wanita nasional Afghanistan, radio Begum digantung operasinya gara-gara didakwa melakukan beberapa pelanggaran melibatkan dasar penyiaran, penyalahgunaan lesen, selain menyediakan kandungan serta program yang tidak sah kepada saluran televisyen antarabangsa.
Menurut Kementerian Maklumat dan Kebudayaan Taliban, masa depan operasi stesen radio tersebut akan ditentukan pada masa yang sesuai.
Radio Begum yang berpusat di Kabul merupakan satu-satunya stesen radio yang dikendalikan oleh wanita dengan kandungan yang memberi fokus kepada pendidikan wanita.
Dalam satu kenyataan, stesen radio tersebut mendakwa komputer, pemacu keras, fail dan telefon turut dirampas Taliban. Beberapa kakitangan yang tidak memegang jawatan pengurusan kanan turut ditahan.
Reporters Without Borders (RSF), sebuah kumpulan hak asasi bebas, mengutuk penggantungan tersebut dan menuntut agar ia dibatalkan segera.
Sebelum pengharaman pada hari Selasa, Radio Begum menyiarkan enam jam pelajaran setiap hari, bersama dengan program kesihatan, psikologi, dan rohani untuk wanita di seluruh Afghanistan. Stesen tersebut berkata ia menyediakan pendidikan kepada gadis-gadis Afghanistan dan sokongan kepada wanita Afghanistan, tanpa terlibat dalam sebarang aktiviti politik. -The Merdeka Times
