Connect with us

Terkini

Mufti Pulau Pinang tegur pempengaruh papar video normalisasikan gelagat gay

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman
  • Mufti Pulau Pinang mengingatkan semua pempengaruh media sosial pastikan setiap kandungan yang dimuatnaik atau dipaparkan di media sosial tidak bertentangan dengan nilai-nilai agama dan norma masyarakat.
  • Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman memberi peringatan itu ketika mengulas berkenaan kandungan video pempengaruh media sosial, Imran Bard dilihat seakan-akan mempromosi dan menormalisasikan budaya songsang kelompok gay yang mengundang kritikan netizen baru-baru ini.
  • Islam melarang perbuatan yang berkaitan homoseksualiti; satu dosa besar.
  • Sebarang kandungan yang boleh dilihat sebagai mempromosikan atau menormalisasikan perbuatan tersebut adalah tidak wajar.  Masyarakat, terutamanya golongan muda mudah terpengaruh.
  • “Saya menyeru kepada semua pihak, termasuk pempengaruh media sosial, untuk mengambil tanggungjawab dalam memastikan kandungan yang disebarkan adalah berfaedah dan tidak menimbulkan kekeliruan atau mempromosikan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya kepada The Merdeka Times pada Khamis.

KUALA LUMPUR — Mufti Pulau Pinang mengingatkan semua pempengaruh media sosial supaya memastikan setiap kandungan yang dimuatnaik atau dipaparkan di media sosial tidak bertentangan dengan nilai-nilai agama dan norma masyarakat.

Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman memberi peringatan sedemikian ketika mengulas berkenaan kandungan video pempengaruh media sosial, Imran Bard yang dilihat seakan-akan mempromosi dan menormalisasikan budaya songsang kelompok gay yang mengundang kritikan netizen baru-baru ini.

Mengulas kandungan video itu, Mohd Sukki menegaskan dalam Islam, perbuatan yang berkaitan dengan homoseksualiti adalah dilarang dan dianggap sebagai dosa besar.

Justeru, katanya sebarang bentuk kandungan yang boleh dilihat sebagai mempromosikan atau menormalisasikan perbuatan tersebut adalah tidak wajar dan boleh memberikan kesan negatif kepada masyarakat, terutamanya golongan muda yang mudah terpengaruh.

“Media sosial mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk pemikiran dan tingkah laku masyarakat.

“Oleh itu, para pempengaruh media sosial seharusnya lebih berhati-hati dalam menghasilkan kandungan mereka… Mereka perlu memastikan bahawa setiap kandungan yang dipaparkan tidak bertentangan dengan nilai-nilai agama dan norma masyarakat.

“Saya menyeru kepada semua pihak, termasuk pempengaruh media sosial, untuk mengambil tanggungjawab dalam memastikan kandungan yang disebarkan adalah berfaedah dan tidak menimbulkan kekeliruan atau mempromosikan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Pihak berkuasa juga perlu memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kandungan yang tidak sesuai bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat terpelihara,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Khamis.

Semalam, The Merdeka Times melaporkan dalam video berdurasi 30 saat bertarikh 28 Januari lalu yang dimuat naik Imran Bard di Instagram, pempengaruh media sosial itu dilihat melakukan beberapa babak ‘mesra’ bersama lelaki lain yang memanggilnya sebagai sayang, termasuk dia beberapa kali dipeluk dari belakang oleh lelaki terbabit semasa sedang memasak.

Tinjauan di ruangan komen mendapati netizen menyifatkan kandungan video Imran itu sebagai kandungan yang tidak sesuai dan merepek.

Dalam pada itu, Mohd Sukki menegaskan bahawa kandungan yang seolah-olah menormalisasikan budaya songsang sedemikian jelas bertentangan dengan Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam dalam Media Baharu yang telah dikeluarkan JAKIM untuk memastikan kandungan yang disebarkan melalui platform digital selaras ajaran Islam.

Kandungan yang seolah-olah menormalisasikan budaya songsang jelas bertentangan dengan garis panduan ini dan boleh memberikan impak negatif kepada masyarakat, terutama golongan muda yang mudah terpengaruh,” kata Mohd Sukki.— The Merdeka Times

Author