Antarabangsa
Jordan sedia berperang dengan Israel jika rakyat Palestin diusir ke wilayahnya

- Jordan sedia berperang dengan Israel jika rakyat Palestin diusir secara paksa ke negaranya.
- Presiden AS Donald Trump telah berkali-kail kata beliau ingin melihat Jordan dan Mesir mengambil rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada langkah untuk “membersihkan” Semenanjung Gaza.
- Jika Israel berusaha untuk membukanya semula, itu akan menjadi “casus belli” – kata sumber.
Jordan sedia berperang dengan Israel sekiranya Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu cuba mengusir rakyat Palestin secara paksa ke wilayahnya.
Menurut Middle East Eye, amaran itu dikeluarkan berikutan kenyataan berulang kali Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa beliau ingin melihat Jordan dan Mesir mengambil rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada langkah untuk “membersihkan” Semenanjung Gaza.
Sumber di Amman dan Baitulmaqdis memberitahu MEE bahawa perkara terakhir yang Jordan mahukan ialah perang dan mereka sentiasa memilih untuk penyelesaian damai.
Tetapi mereka bertegas bahawa Jordan akan menutup sempadan jika pelarian mula memasuki negara itu.
Jika Israel berusaha untuk membukanya semula, itu akan menjadi “casus belli” (tindakan provokatif yang mencetuskan perang) kata sumber tersebut.
Rakyat Jordan sedar bahawa sukar untuk mereka memenangi perang dengan Israel, tetapi percaya tiada pilihan selain berperang.
Jordan sebelum ini menghantar batalion tambahan ke sempadan baratnya selepas kenyataan tegas dari Amman bahawa sebarang cubaan untuk memaksa rakyat Palestin menyeberangi sempadan adalah pelanggaran berat terhadap perjanjian damai 1994 antara Jordan dan Israel.
Sebagai tindak balas, Israel menubuhkan bahagian timur baru untuk mengawal sempadannya dengan Jordan. -The Merdeka Times
