Politik
Isu vape: Kenyataan Setiausaha Politik PM seperti sahkan industri pengaruhi pengguguran GEG

- Kenyataan bahawa “pemain industri vape di negara ini majoritinya anak muda yang meraih pendapatan lumayan” seakan mengesahkan industri itu ada pengaruh besar dalam menggugurkan Generasi Penamat Rokok (GEG) ketika proses meluluskan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam.
- Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi mengulas kenyataan SUP Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang dilaporkan berpandangan bahawa agak sukar untuk kerajaan membuat keputusan drastik mengharamkan vape.
- “… Kerajaan perlu tegas dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia, jangan hanya mengejar keuntungan kecil tetapi akhirnya menanggung kerugian besar ibarat “Untung Secupak, Rugi Segantang”, walaupun peruntukan tahunan kesihatan adalah besar, banyak isu masih gagal ditangani, termasuk kos rawatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tinggi akibat dasar-dasar yang lemah,” kata Dr Ahmad Yunus kepada The Merdeka Times pada Sabtu lalu.
KUALA LUMPUR — Kenyataan bahawa “pemain industri vape di negara ini majoritinya anak muda yang meraih pendapatan lumayan” seolah-olah mengesahkan bahawa industri itu mempunyai pengaruh besar dalam menggugurkan Generasi Penamat Rokok (GEG) ketika proses meluluskan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam.
Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi ketika mengulas kenyataan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang dilaporkan berpandangan bahawa agak sukar untuk kerajaan membuat keputusan drastik mengharamkan vape.
Sebaliknya, Shamsul Iskandar melihat yang lebih penting ketika ini adalah aspek kawalan, khususnya bagaimana pemain industri vape mengawal ‘ekosistem’ perniagaan mereka supaya tidak dicemari penjualan cecair vape yang dicampur bahan terlarang terutama dadah.
Beliau juga mendedahkan pemain industri vape di negara ini majoritinya dalam kalangan anak muda, dengan mereka meraih pendapatan sangat lumayan hasil jualan rokok elektronik terbabit.
Menurut Dr Ahmad Yunus yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat, dalam hal ini kerajaan perlu tegas dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia dan jangan hanya kerana ingin mengejar keuntungan kecil, akhirnya perlu menanggung kerugian besar yang dibaratkan sebagai “Untung Secupak, Rugi Segantang”.
“Setiausaha Kanan Perdana Menteri berpandangan bahawa sukar bagi kerajaan mengambil keputusan drastik untuk mengharamkan vape pada masa sama, Menteri Dalam Negeri pula menyatakan bahawa kerajaan tidak mampu kehilangan hasil cukai yang besar.
“Namun, kesan yang lebih membimbangkan adalah terhadap kesihatan fizikal dan mental rakyat… Kerajaan perlu lebih bertanggungjawab dalam isu ini… Kuasa politik berada di tangan kerajaan hari ini.
“Persoalannya, adakah kerajaan lebih mengutamakan pendapatan cukai yang kecil atau sanggup menanggung kos penjagaan kesihatan yang jauh lebih besar akibat kesan buruk vape dan rokok?
“… Kerajaan perlu tegas dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia, jangan hanya mengejar keuntungan kecil tetapi akhirnya menanggung kerugian besar ibarat “Untung Secupak, Rugi Segantang”, walaupun peruntukan tahunan kesihatan adalah besar, banyak isu masih gagal ditangani, termasuk kos rawatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tinggi akibat dasar-dasar yang lemah,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Sabtu lalu.
Pengguguran dasar generasi penamat (GEG) sebelum ini menyaksikan terdapat pihak mengaitkannya dengan lobi yang kuat daripada wakil industri tembakau dan vape, di mana menurut Utusan Malaysia Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui tekanan penggiat industri rokok dan vape yang ‘melobi’ kerajaan menyebabkan KKM terpaksa mengubah keputusan untuk merealisasikan GEG.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata disebabkan tekanan itu menyebabkan berlaku pertindihan pandangan antara kerajaan, ahli Dewan Rakyat dan pemain industri berhubung pelaksanaan GEG.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan menafikan perkara itu dengan menyatakan bahawa peruntukan GEG dalam penggunaan tembakau dan vape tidak berjaya kerana terdapat isu perlembagaan, bukan kerana pengaruh pelobi.
Mengulas lanjut, Dr Ahmad Yunus berkata pelaksanaan GEG adalah langkah lebih munasabah sekiranya kesihatan rakyat benar-benar menjadi keutamaan kerajaan.
“Jika kerajaan hanya melihat dari sudut ekonomi semata-mata, hakikatnya beban perbelanjaan kesihatan yang tinggi akibat penyakit berkaitan rokok dan vape akan memberi impak lebih besar kepada negara.
“Keputusan kerajaan mengenakan cukai nikotin sebagai langkah meringankan beban kewangan untuk merawat pesakit akibat merokok adalah satu dasar yang lemah. Ia tidak menyelesaikan punca masalah, malah hanya menggalakkan lagi penggunaan vape dan rokok,” katanya.— The Merdeka Times
